KLCI melonjak tetapi terhad | DagangNews Skip to main content

KLCI melonjak tetapi terhad

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pasaran saham tempatan cuba untuk melonjak bagi melepasi paras rintangan 1,600 pada awal dagangan pagi ini, namun masih ‘tersekat’ dalam jajaran yang terhad. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 3.73 daripada paras ditutup petang semalam, 1,588.25 kepada 1,591.98.

 

Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan terus ‘tersekat’ dalam penurunan lebih 10 matanya daripada paras tertinggi baru-baru ini. 

 

“...kami menjangkakan indeks itu akan berlegar sekitar 1,580 hingga 1,590 ekoran tiada pemangkin pembelian jelas,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Di peringkat global, ekuiti-ekuiti Amerika Syarikat (AS) secara umumnya lebih rendah memandangkan para pelabur mengambil keuntungan. 

 

“Ketika Dow Jones Industrial Average menokok 20 mata untuk ditutup hampir paras 34,133, saham teknologi mengalami kenaikan penjualan dengan Nasdaq merosot 261 mata.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan bercampur-campur hari ini ketika kes COVID-19 sedang meningkat,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com