KLCI raih semula keyakinan pelabur naik menghampiri 1,700 | DagangNews Skip to main content

KLCI raih semula keyakinan pelabur naik menghampiri 1,700

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pasaran saham tempatan meraih semula keyakinan pelabur untuk membeli saham-saham tersenarai sehingga melonjak menghampiri paras psikologi 1,700 pada awal dagangan hari ini. 

 

Setelah dibuka jauh lebih rendah semalam, pasaran di Bursa Malaysia hari ini melonjak lebih 20 mata apabila Belanjawan 2021 diluluskan selepas bacaan ketiga di Dewan Rakyat.

 

Setakat 9.03 pagi, FBM KLCI mencecah 1,694.84 melonjak 20.82 mata atau 1.24% daripada paras yang ditutup semalam, 1,674.02. 

 

Di pasaran tempatan, kami percaya keterujaan pembelian lewat daripada kelulusan Belanjawan 2021 tidak akan lama memandangkan kami melihat wujudnya aktiviti pengambilan untung.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI meningkat dalam julat 1,660-1,670 hari ini,” kata Rakuten Trade dalam nota kajiannya.

 

Pada Isnin minggu ini, indeks pasaran itu mengekalkan momentum menaik menjelang bacaan ketiga Belanjawan 2021 di samping harapan para pelabur terhadap ekonomi yang beransur pulih. 

 

Namun prestasi menaik itu direncatkan oleh spekulasi bahawa kerajaan di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal runtuh. 

 

Ini susulan dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjangkakan Belanjawan 2021 akan gagal mendapat undian majoriti di Dewan Rakyat, berlangsung semalam. 

 

Malah, Mahathir dan seteru lamanya, Tengku Razaleigh Hamzah dalam sejarah membuat sidang akhbar bersama bagi menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyokong Belanjawan 2021.

 

Dalam sidang akhbar itu, mereka bersama-sama menawarkan pengalaman dan kepakaran mereka dalam menerajui ekonomi negara. 

 

Sejurus spekulasi itu, pergerakan pasaran tempatan sekali terjejas apabila menjunam lebih 20 mata, ditutup pada Isnin dan dibuka lebih rendah pada Selasa. 

 

Bagaimanapun, dakwaan dan usaha itu disangkal apabila Belanjawan 2021 berjaya meraih undian daripada 111 Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat semalam. 

 

Seramai 108 Ahli Parlimen pula menentang dan seorang tidak hadir. 

 

Difahamkan, Ahli Parlimen yang tidak hadir itu merupakan Tengku Razaleigh yang sehari sebelum itu ‘menggenggam tangan’ dengan Mahathir untuk tidak menyokong peruntukan bajet berkenaan. 

 

Setelah perkembangan vaksin COVID-19 memberi suntikan lonjakan tinggi kepada pasaran tempatan, para pelabur meletakkan harapan terhadap kelulusan Belanjawan 2021 yang menjadi ‘penyambung nyawa’ untuk ekonomi Malaysia hidup semula pada tahun hadapan. 

 

Ketika ini, kaunter-kaunter benefisiari COVID-19 seperti sarung tangan getah mula menyaksikan kemerosotan. 

 

Ini berikutan, para pelabur mula beralih ke saham-saham yang bakal pulih sejurus vaksin COVID-19 mula diedarkan kepada masyarakat dan sempadan negara dibuka semula.

 

Ini termasuk sektor perjudian, perbankan dan penerbangan. - DagangNews.com