KLCI, ringgit berakhir tinggi, saham Genetec paling untung, Rapid pula rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI, ringgit berakhir tinggi, saham Genetec paling untung, Rapid pula rugi

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Dagangan hari ini berakhir tinggi dengan bursa tempatan ditutup pada 1,527.62 mata setelah indeks utama FBM KLCI menokok 11.10 mata atau 0.73%.

 

Keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 680 berbanding 320 manakala 418 kaunter tidak berubah dengan 5.19 bilion saham diniagakan bernilai RM2.98 bilion.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Dagangan ditutup tinggi pada RM18.86 setelah menokok 32 sen manakala Petronas Gas naik 14 sen kepada RM15.68. 

 

Saham perbankan, Hong Leong Financial Group berakhir tinggi dengan menokok 26 sen kepada RM17.84 diikuti Hong Leong Bank meningkat 16 sen kepada RM18.46 dan Public Bank naik 1 sen kepada RM4.02. 

 

Maybank pula ditutup 3 sen lebih tinggi kepada RM8.04 diikuti CIMB Group menokok 7 sen kepada RM4.55 dan RHB Bank kekal tidak berubah pada RM5.20.

 

Sebaliknya, saham berkaitan sarung tangan getah, menutup dagangan dengan rendah petang ini didahului Hartalega susut 14 sen kepada RM7.75.

 

Top Glove juga susut 6 sen kepada RM4.10 manakala Supermax menyusut 4 sen kepada RM3.65. Kossan pula sebaliknya menokok 4 sen kepada RM3.53. 

 

Bagi kaunter aktif, Pasukhas Group mendahului carta dengan sahamnya ditutup 0.05 sen lebih rendah kepada 10.5 sen diikuti Saudee Group susut 0.35 sen kepada 15.5 sen. 

 

Saham Dagang Nexchange pula ditutup tinggi pada 77.5 sen setelah menokok 0.25 sen manakala Glotec Formation menokok 10.5 sen kepada 68 sen. 

 

Kaunter untung menyaksikan Genetec Technology berakhir tinggi dengan meningkat RM1.12 kepada RM18.72 manakala kaunter rugi pula didahului dengan saham Rapid Synergy susut 40 sen kepada RM7.90.

 

Reuters melaporkan, pasaran saham Asia hari ini menuju prestasi dagangan terbaik dalam tempoh 2 bulan menjejaki pemulihan Wall Street.

 

Sementara itu, bagi pasaran kewangan, ringgit petang ini ditutup pada RM4.2230/2260 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berbanding penutupan semalam, RM4.2320/2345. - DagangNews.com