Skip to main content

KLCI, ringgit merosot kurang pemangkin

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Pasaran tempatan petang ini ditutup rendah susut 14.47 mata kepada 1,570.46 mata. 

 

Indeks utama FBM KLCI itu yang susut 0.91% itu menyaksikan 13.3 bilion saham diniagakan bernilai RM5.7 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 754 berbanding 476 manakala 459 kaunter tidak berubah.

 

Pasaran kewangan pula menyaksikan ringgit juga merosot kepada RM4.0430/0480 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah berbanding penutupan Jumaat, pada RM4.0380/0430.

 

Menurut Hong Leong IB Research, KLCI sukar untuk terus meningkat memandangkan indeks gagal melepasi paras rintangan antara 1,590 dan 1,618 mata. 

 

Katanya, ini mengambil kira kemungkinan akititi pengambilan untung di Wall Street dan pasaran serantau serta musim laporan kewangan suku keempat 2020.

 

"Bagaimanapun, risiko penurun adalah terhad menghampiri 1,545 hingga 1,561 mata disokong perancangan program vaksinasi di Malaysia mulai 26 Februari ini," katanya dalam nota kajian. 

 

Dari segi pilihan saham, katanya, pelancaran inisiatif MyDigital, Jumaat lalu mungkin meningkatkan kecenderungan terhadap syarikat yang mendapat manfaat dalam e-perkhidmatan, perkhidmatan awan dan syarikat berkaitan e-kerajaan.  

 

Sementara itu, dalam taklimat prospek pasaran bagi suku pertama 2021 hari ini, Rakuten Trade Research mengunjurkan KLCI akan mencecah 1,870 mata tahun ini.

 

Ketua Penyelidiknya, Kenny Yee berkata, bagi tahun ini, pelbagai pihak menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang kukuh daripada korport terutama dalam kalangan komponen utama FBM KLCI. 

 

Antara komponen itu, sektor pembuatan (termasuk saham pengeluar sarung tangan getah), perbankan dan syarikat dalam segmen lain-lain seperti IHH Healthcare Bhd., Dialog Bhd. and MISC Bhd. akan memimpin perubahan dalam pertumbuhan pendapatan. - DagangNews.com