Skip to main content

KLCI, ringgit teruskan aliran menurun

 

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Pasaran tempatan meneruskan aliran penurunan apabila indeks utama ditutup rendah dalam dagangan petang ini. 

 

Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri dagangan dengan susut 5.41 mata kepada 1,565.05. 

 

Keseluruhan pasaran pula hampir seimbang dengan kaunter untung menyamai rugi pada 603 berbanding 602 manakala 450 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak RM11.46 bilion bernilai RM5.54 bilion, lebih rendah berbanding semalam, sebanyak 13.3 bilion saham diniagakan bernilai RM5.7 bilion.  

 

Hong Leong IB Research berkata, KLCI semakin terjejas dengan kejatuhan seterusnya memandangkan indeks utama sukar melepasi rintangan 1,600 hingga 1,618 mata menjejaki aktiviti pengambilan untung di Wall Street dan pasaran serantau sementara menunggu lebih banyak petunjuk daripada hasil korporat. 

 

"Namun begitu, risiko penurunan adalah terhad menghampiri paras 1,548 hingga 1,561 mata disokong program vaksinasi kebangsaan di Malaysia bermula 26 Februari ini," katanya dalam nota kajian. 

 

Dari segi sektor pula, katanya, saham-saham berkaitan perbankan, minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan teknologi akan terus menjadi pilihan pelabur ekoran meningkatnya keyakinan terhadap pelancaran vaksin COVID-19. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, petang ini ringgit ditutup pada RM4.0410/0450 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.0400/0450.

 

Pada pembukaan dagangan pagi, ringgit mencatat prestasi hampir tidak berubah berbanding dolar AS ketika sentimen bercampur-campur mengenai vaksin COVID-19 serta penyusutan dolar AS terus menjadikan pelabur memilih untuk menunggu pemangkin pasaran yang lebih ketara. - DagangNews.com