KLCI, saham Asia dibuka tinggi | DagangNews Skip to main content

KLCI, saham Asia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Pasaran saham Malaysia dibuka tinggi, naik 0.13% seiring pasaran di Asia.

Setakat 9.11 pagi, KLCI mencecah paras 1502.29, melonjak 1.99 mata. 

Sementara itu, pasaran Asia dan niaga hadapan Amerika Syarikat melonjak selepas para pelabur yakin Donald Trump boleh keluar dari hospital seawal hari ini. 

Bagaimanapun, mata wang Jepun menurun. 

Menurut Reuters, niaga hadapan Australia melonjak 1.16%, niaga hadapan saham Jepun meningkat 0.75% dan indeks niaga hadapan Hong Kong pula naik 1.38%. 

Dalam pada itu, doktor yang merawat Trump berkata mereka berpuas hati dengan perkembangannya di mana kelegaan terhadap kesihatan Presiden AS itu dapat mendorong kenaikan ekuiti dan aset berisiko lain ketika para pelabur bersiap sedia menjelang pilihan raya presiden AS bulan depan.

Ekuiti dan peniaga lain yang berisiko mungkin dapat disokong baik dengan mengurangkan kebimbangan mengenai kesihatan Trump,” kata Ahli Strategi Kanan Mata Wang di IG Securities, Jepun. 

Rakuten Trade Research berkata, kebimbangan terhadap penularan COVID-19 yang semakin memburuk dan kesihatan Trump menyebabkan Wall Street tidak stabil ketika penjual melakukan aktiviti perdagangan.

Namun, berita mengenai pakej rangsangan yang dijangka berlaku menyaksikan beberapa pembelian lewat memandangkan Dow Jones Industrial Average ditutup rendah kerana kehilangan 134 mata pada paras 27,682.

“Di pasaran tempatan, kami menjangkakan KLCI akan terus menunjukkan trend menaik memandangkan terdapat pembelian lewat yang melonjakkan penanda aras indeks melebihi paras 1,500.

“Kami menjangkakan KLCI akan berada dalam lingkungan 1,500 hingga 1,510 hari ini,” kata Rakuten Trade. - DagangNews.com