KLCI terima ‘tempias’ negatif PKP 3.0 sekejap sahaja, ramal MIDF | DagangNews Skip to main content

KLCI terima ‘tempias’ negatif PKP 3.0 sekejap sahaja, ramal MIDF

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara dijangka mendatangkan sentimen negatif ke atas pasaran tempatan, namun hanya untuk jangka masa pendek. 

 

Sehubungan itu, MIDF Research percaya bahawa pasaran saham tempatan akan tidak menentu buat masa ini.

 

“Bagaimanapun, dengan jangkaan PKP 3.0 yang mungkin memberi impak negatif terhadap landasan pemulihan ekonomi Malaysia dan arah pemulihan FBM KLCI pula kekal, kami tidak melihat alasan yang kuat untuk mengubah pilihan saham kami seperti yang dinyatakan dalam tinjauan 2Q21,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Sehubungan itu, MIDF mengekalkan unjuran FBM KLCI pada akhir tahun ini pada 1,700 mata.

 

Dalam masa sama, firma penyelidikan itu turut menyarankan untuk membeli saham yang menunjukkan reaksi ‘knee-jerk’ terhadap PKP 3.0.

 

“FBM KLCI ketika ini didagangkan pada paras nisbah harga kepada perolehan (PER) sub-min, tetapi secara prinsipnya disebabkan oleh kesan pendapatan berkaitan sektor sarung tangan yang dijangkakan bagi tahun ini.

 

“FBM KLCI mungkin menyaksikan penilaiannya kekal pada paras sub-min terutamanya disebabkan oleh kesan tersebut dan juga perubahan makro yang bertembung dengan impak monetari,” tambah MIDF.

 

MIDF kekal optimis terhadap prestasi ekonomi tahun ini dan percaya situasi ekonomi akan bertambah baik.

 

Jelasnya, tahun 2021 bakal menyaksikan pemulihan ekonomi dipacu oleh permintaan domestik dan perbelanjaan kerajaan terutamanya setelah negara memperuntukkan perbelanjaan yang tertinggi dalam sejarah. - DagangNews.com