KLCI terus melonjak, ringgit lemah | DagangNews Skip to main content

KLCI terus melonjak, ringgit lemah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pasaran tempatan petang ini ditutup tinggi apabila indeks utama FBM KLCI mendapat kekuatan daripada saham-saham berkaitan minyak dan gas. 

 

Harga minyak mentah buat kali pertama melepasi paras AS$70 setong sejak Disember 2019 susulan serangan peluru berpandu ke atas kemudahan yang dimilik oleh gergasi tenaga dunia, Saudi Aramco di Arab Saudi. 
 

Ini menyaksikan indeks utama petang ini menokok 11.69 mata kepada 1,611.81 mata dengan jumlah dagangan sebanyak 9.78 bilion bernilai RM6.27 bilion. 

 

Keseluruhan kaunter bagaimanapun hampir seimbang apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 647 berbanding 621 manakala 397 kaunter tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, bursa tempatan mendapat pemangkin yang lebih positif dan turut disokong oleh data eksport ekonomi China yang meyakinkan sekali gus melonjakkan kecenderungan risiko dalam kalangan pelabur. 

 

"Tetapi pasaran tempatan petang ini mendapat kekuatan daripada kaunter-kaunter minyak dan gas di bawah indeks utama FBM KLCI," katanya kepada DagangNews.com.

 

Dalam kalangan saham yang aktif diniagakan, kaunter-kaunter berkaitan tenaga seperti Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melonjak 13.39% kepada 72 sen sesaham manakala Sapura Energy naik 6.67% kepada 16 sen sesaham. 

 

Velesto Energy pula meningkat 8.57% kepada 19 sen manakala Bumi Armada naik 1.1% kepada 46 sen. 

 

Bagi saham-saham yang mencatat keuntungan pula, Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) naik 6.78% kepada RM8.35 sesaham.

 

Menurut beliau, ini memberi kelebihan kepada indeks tenaga apabila mencatat kenaikan tinggi dalam kalangan indeks mengikut sektor sebanyak 3.5%. 

 

Indeks teknologi pula, sebaliknya merosot sehingga 6% apabila niaga hadapan Nasdaq terus merekodkan kerugian semalaman memandangkan saham-saham teknologi dilihat akan memulakan jualan bagi permulaan minggu dalam pasaran Amerika Syarikat (AS).  

 

Sementara itu bagi pasaran kewangan pula, Adam Mohamed berkata, ringgit terus berada dalam tekanan apabila menyusut hampir 1% dalam dagangan hari ini. 

 

"Ini berikutan dolar AS semakin mengukuh disokong data pekerjaan yang lebih baik di luar jangkaan dan rang undang-undang bagi menangani pandemik COVID-19," jelasnya. 

 

Senat AS pada Sabtu meluluskan rang undang-undang rangsangan ekonomi bernilai AS$1.9 trilion yang menyaksikan dolar AS mengukuh sehingga paras 3 bulan tertinggi. 

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0750/0780, lebih rendah berbanding penutupan Jumaat, pada RM4.0720/0760.

 

Dalam aliran dana kewangan mingguan, MIDF Research berkata, kenaikan harga minyak gagal menyokong ringgit walapun harga minyak mentah diniagakan pada AS$70 setong. - Dagangnews.com.