KLCI teruskan lonjakan melebihi paras 1,600 | DagangNews Skip to main content

KLCI teruskan lonjakan melebihi paras 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pasaran ekuiti tempatan dibuka lebih tinggi pagi ini untuk meneruskan lonjakan melebihi paras rintangan 1,600. 

 

Prestasi itu didorong oleh lonjakan besar dalam kaunter tenaga selain pasaran serantau yang berprestasi lebih baik.

 

Setakat 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 7.36 mata kepada 1,607.48, daripada paras yang ditutup pada minggu lalu,1,600.12. 

 

Dagangan pagi ini menyaksikan sebanyak 490 kaunter untung mengatasi 76 kaunter rugi. 

 

Antara kaunter untung termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, Solarvest Holdings Berhad, SAM Engineering & Equipment (M) Berhad, Central Global Berhad, Press Metal Aluminium Holdings Berhad, Petronas Chemicals Group Berhad, Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad, Unisem (M) Berhad, Yinson Holdings Berhad dan Batu Kawan Berhad.

 

Menurut Reuters, saham-saham Asia melonjak hari ini sementara dolar pula hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan. 

 

Ini susulan Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan rang undang-undang rangsangan AS$1.9 trilion dan laporan pekerjaan yang mengejutkan meningkat dengan baik untuk pemulihan ekonomi global.

 

Jelas Reuters lagi, terdapat juga berita optimis di Asia, ketika eksport China melonjak 155% pada bulan Februari dibandingkan dengan tahun sebelumnya apabila sebahagian besar ekonomi ditutup untuk membendung COVID-19.

 

Prospek itu membantu indeks MSCI melonjak 0.4% dengan Nikkei di Jepun meningkat 1.2%, manakala niaga hadapan S&P 500 menokok 0.3%. 

 

Para pelabur ekuiti dipengaruhi oleh data AS yang menunjukkan pekerjaan bukan pertanian meningkat sebanyak 379,000 pada bulan lalu, sementara kadar pengangguran merosot kepada 6.2% sebagai tanda positif untuk pendapatan, perbelanjaan dan perolehan korporat. - DagangNews.com