KNM catat rugi bersih RM32.51 juta bagi Q3, umum lantik Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Eksekutif | DagangNews Skip to main content

KNM catat rugi bersih RM32.51 juta bagi Q3, umum lantik Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Eksekutif

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov -  KNM Group Bhd. mengumumkan pelantikan Tan Sri Zulhasnan Rafique, 67, 
sebagai Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa 23 November 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Sebelum ini, bekas menteri Wilayah Persekutuan yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) itu dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bebas pada 18 September lalu. 

 

Beliau dilantik ke jawatan berkenaan bagi menggantikan Datuk Ab Halim Mohyiddin yang meletakkan jawatan pada Jun tahun ini.

 

 

zulhasnan rafique
Tan Sri Zulhasnan Rafique

 

 

Sementara itu, dalam makluman berasingan, KNM melaporkan kerugian bersih sebanyak RM32.51 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding untung bersih berjumlah RM17.98 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Keadaan ini terutamanya disebabkan kerugian tukaran asing tidak direalisasikan dan kos kewangan yang lebih tinggi bagi beberapa projek pembinaan kumpulan yang telah dibelanjakan ke dalam penyata pendapatan pada suku dikaji.

 

Bagaimanapun, pendapatan pada suku berkenaan meningkat kepada RM326.38 juta daripada RM321.19 juta.

 

Ini menyaksikan pendapatan asas sesaham bagi suku berkenaan susut kepada -1.03 sen berbanding 0.68 sen.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM23.96 juta berbanding untung bersih sebanyak RM49.46 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut kepada RM803.6 juta daripada RM990.91 juta.

 

Mengenai prospek kumpulan, syarikat penyedia perkhidmatan peralatan minyak dan gas itu berkata, ia masih kekal mencabar disebabkan ketidaktentuan ekonomi global tang masih berterusan berikutan impak pandemik COVID-19.

 

Menurutnya, industri asas yang memacu prospek perniagaan kumpulan seperti minyak dan gas, petrokimia dan tenaga akan terus kekal mencabar. 

 

Ini kerana katanya, pemulihan daripada pandemik masih bergantung kepada majoriti penduduk yang menerima vaksin, harga minyak mentah yang stabil dan peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 terutamanya di Asia.

 

"Namun, kami akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengurus dan mengurangkan ketidaktentuan ini.

 

"Kami percaya usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan pelbagai negara akan menunjukkan hasil yang baik menjelang akhir tahun ini dengan kadar vaksinasi yang tinggi dan sekatan pergerakan dilonggarkan di beberapa negara ekonomi utama termasuk AS, Eropah dan China," jelasnya. 

 

Setakat 3.23 petang ini, harga saham KNM menokok 0.05 sen atau 2.94% kepada 17.5 sen dengan 21.9 juta saham diniagakan. - DagangNews.com