KNM lupus pegangan dalam Borsig bernilai RM1.03 bilion | DagangNews Skip to main content

KNM lupus pegangan dalam Borsig bernilai RM1.03 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mei - KNM Group Bhd. bercadang melupuskan keseluruhan pegangan dalam Borsig GmbH kepada GPR Siebzigste Verwaltungsgesellschaft mbH (GSV) bernilai 220.8 juta euro (RM1.03 bilion). 

 

Bagaimanapun, langkah tersebut akan menyaksikan anggaran kerugian kira-kira RM490.55 juta kepada KNM, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

KNM berkata, anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Deutsche KNM GmbH (DKNM) telah memeterai perjanjian penjualan, pembelian dan pemindahan bersyarat dengan GSV pada Isnin.

 

Cadangan pelupusan 15 saham, mewakili 100% kepentingan ekuiti, dalam Borsig kepada GSV telah dipersetujui atas dasar penerimaan pembeli-penjual, yang boleh mengakibatkan anggaran kerugian kira-kira RM490.55 juta kepada KNM.

 

"Bagaimanapun KNM percaya langkah itu adalah suntikan tunai yang tepat pada masanya untuk memperbaiki kedudukan kewangan kumpulan.

 

"Ini kerana kumpulan merekodkan kedudukan hutang bersih sebanyak RM1.09 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, manakala RM1.12 bilion tahun sebelumnya," katanya.

 

Borsig, merupakan pengeluar pemprosesan peralatan yang berpangkalan di Jerman, diambil alih oleh KNM menerusi DKNM pada 2008.

 

Borsig dan anak-anak syarikatnya menyumbang kira-kira 59.51% daripada jumlah hasil kumpulan bagi tahun kewangan terkini diaudit berakhir 31 Disember 2020 dan kira-kira 67.72% daripada jumlah hasil kumpulan bagi tahun kewangan belum diaudit berakhir 31 Disember 2021. 

 

KNM ialah kumpulan multinasional dengan perniagaan teras dalam pengurusan projek, kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan untuk industri tenaga boleh diperbaharui, kuasa, utiliti, penapisan dan petrokimia.

 

GSV pula adalah syarikat pelaburan khas yang dimiliki sepenuhnya Vorsprung Industries SCSp, yang diperbadankan bagi melaksanakan pengambilalihan Borsig.

 

Menurut KNM, selepas menerima hasil daripada perjanjian ini, kumpulan merancang untuk membayar balik pinjaman banknya berjumlah RM874.23 juta, mengurangkan jumlah pinjaman bank daripada RM1.28 bilion kepada RM391.53 juta.

 

"KNM juga memperuntukkan sebanyak RM71.98 juta sebagai keperluan modal kerja bagi projek tenaga boleh diperbaharui kumpulan dan sebanyak RM15.97 juta dianggarkan untuk perbelanjaan pelupusan ini, yang dijangka selesai pada suku ketiga 2022," katanya.

 

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. dilantik sebagai penasihat utama bagi cadangan pelupusan tersebut. 

 

Saham KNM kembali diniagakan 10 pagi tadi, setelah digantung sementara semalam mulai pukul 2 hingga 5 petang, sementara menantikan pengumuman berkenaan.

 

Setakat 2.57 petang ini, harga sahamnya susut 4 sen atau 20.51% kepada 15.5 sen dengan 144.62 juta saham diniagakan. - DagangNews.com