Koo Tee Yam tambah lagi ekuiti dalam Caely, kini 19.12% | DagangNews Skip to main content

Koo Tee Yam tambah lagi ekuiti dalam Caely, kini 19.12%

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ahli perniagaan Datuk Seri Tee Yam @ Koo Tee Yam telah meningkatkan pegangan sahamnya dalam Caely Holdings Bhd kepada 19.12%, merapatkan jurang dengan pemegang saham terbesar kumpulan itu Datuk Seri Goh Choon Kim, yang memegang 21.05% kepentingan.

 

Koo membeli 10 juta saham pada 3 Ogos lalu dalam urus niaga luar pasaran, menjadikan jumlah pegangannya kepada 49.38 juta saham atau 19.12%, meningkat daripada 15.25% pada 1 Ogos, kata Caely dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pembelian terbaru ini meletakkan Koo sebagai ekuiti kedua terbesar dipegang oleh pemegang saham tunggal dalam Caely, selepas Goh

 

Koo, yang pertama kali muncul sebagai pemegang saham utama Caely pada 30 Mei dengan 5.63% kepentingan, telah meningkatkan pegangan sahamnya secara berterusan dalam dua bulan lalu.

 

Anak perempuan Koo, Koo Chen Yeng adalah pengarah eksekutif di Caely.

 

Pembuat pakaian dalam itu juga berkata bahawa bekas pengerusi eksekutifnya Datuk Wira Ng Chun Hau melupuskan 14 juta saham pada hari Rabu, mengurangkan pegangan sahamnya kepada 4.60% pegangan langsung dan 0.83% pegangan tidak langsung.

 

Pegangan saham langsung Ng berjumlah 10.02% atau 25.89 juta saham pada 1 Ogos.

 

Saham Caely ditutup tidak berubah pada 31 sen pada 5 Ogos, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM80.01 juta. - DagangNews.com