Skip to main content

Koleksi mangkuk tingkat Tiffin Jeiwa jadi tarikan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Dis - Mangkuk tingkat dahulunya dijadikan sebagai bekas makanan kini berubah menjadi hasil seni yang menjadi koleksi berharga buat sesetengah individu.

 

Lebih menarik, mangkuk tingkat yang dijual pada harga mencecah RM1,000 diyakini mampu menarik minat pengunjung yang hadir ke Program 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

 

Pengasas Tiffin Jeiwa, Nor Fadilah Mohamed Nizar berkata, beliau pada mulanya bukan seorang usahawan namun perlu mencipta sebuah perniagaan pada 2018 demi mewujudkan sebauh pusat komuniti untuk kaum wanita di Johor Bahru.

 

Beliau kemudiannya menjadikan mangkuk tingkat bercorak dengan tema alam sekitar dan pop arts sebagai perniagaan untuk diketangahkan hingga ke persada antarabangsa.

 

"Produk keluaran kami adalah hasil kerja tangan dan dihasilkan oleh anak tempatan.

 

"Mungkin dahulu mangkuk tingkat dipandang hanya sebelah mata tetapi kini ia mampu mencecah nilai ribuan ringgit berdasarkan kepada seni yang ada padanya," katanya kepada DagangNews.com.

 

mangkuk tingkat

 

Nor Fadilah berkata, semua idea dan corak seni dihasilkan sendiri tanpa penggunaan bahan beracun serta selamat untuk digunakan.

 

Katanya, mangkuk tingkat yang ditawarkan pihaknya amat sesuai digunakan secara harian kerana ia selamat dan tahan lama.

 

mangkuk

 

"Kami sebenarnya menjual seni kepada orang ramai. Setiap mangkuk tingkat yang dijual ada temanya yang tersendiri seperti Full Moon, Magnificent dan pelbagai lagi.

 

"Setiap corak yang ditawarkan adalah eksklusif dan tidak akan dihasilkan semula. Harga yang ditawarkan di sini adalah bermula daripada RM280 sehingga RM1,000," katanya. - DagangNews.com