Konflik kepentingan libatkan pengurusan kanan Suruhanjaya Sekuriti didedahkan | DagangNews Skip to main content

Konflik kepentingan libatkan pengurusan kanan Suruhanjaya Sekuriti didedahkan

KUALA LUMPUR 13 Jan - Persoalan konflik kepentingan dibangkitkan dalam Suruhanjaya Sekuriti (SC) selepas dokumen daripada sumber dalaman badan kawal selia pasaran itu menunjukkan beberapa pengarahnya turut menganggotai lembaga pengarah syarikat senaraian awam, portal berita MalaysiaNow mendedahkan.

 

Menurut portal tersebut, walaupun beberapa nama dilihat hanya menjadi pengarah bukan eksekutif dalam syarikat-syarikat tersebut, namun ia boleh membangkitkan persoalan integriti dan konflik kepentingan.

 

''Hal ini kerana SC adalah badan yang mengawal selia syarikat yang sama di mana mereka mempunyai kepentingan tertentu.'' kata MalaysiaNow yang menamakan tiga pegawai kanan SC iaitu pengerusi SC, Syed Zaid Albar; dua pengarah SC, Gooi Hoe Soon dan Lynette Yeow Su-Yin.

 

Berikut adalah petikan laporan portal berita tersebut:

 

''Dalam satu contoh yang menunjukkan wujud konflik kepentingan, Gooi Hoe Soon yang merupakan salah seorang pengarah SC turut menganggotai lembaga pengarah Yinson Holdings Bhd, Red Ideas Holdings Bhd dan Perusahaan Sadur Timah Malaysia Bhd.

 

Yinson Holdings ialah sebuah syarikat minyak dan gas yang mempunyai masalah dengan SC berhubung kes “insider trading” atau perdagangan orang dalam membabitkan bekas pemegang sahamnya Yeow Kheng Chew.

 

“Gooi kemudiannya dilantik sebagai anggota lembaga pengarah SC selepas kes tersebut ditutup,” kata sumber yang mengetahui tentang urusan suruhanjaya itu kepada MalaysiaNow.

 

SC

 

Satu lagi kebimbangan yang menjadi buah mulut dalam kalangan komuniti perniagaan ialah berkait pengerusi SC sendiri, Syed Zaid Albar.

 

Zaid, adalah adik kepada bekas menteri Syed Hamid Albar, dilantik sebagai pengerusi SC pada Oktober 2018 ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

 

Zaid merupakan pengarah Yinson Holdings ketika beliau dilantik mengetuai SC.

 

Beliau kemudiannya meletakkan anak perempuannya, Sharifah Munira Syed Zaid menggantikan tempatnya dalam syarikat itu.

 

Munira juga turut dinamakan sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif Yinson pada Januari 2020.

 

Sementara itu, seorang lagi ahli lembaga pengarahnya, Lynette Yeow Su-Yin didapati menjadi ahli jawatankuasa bukan eksekutif CTOS Digital Bhd, sebuah syarikat laporan kredit terkemuka.

 

“Ini juga turut menimbulkan kebimbangan, kerana baru tahun lepas SC luluskan pembelian saham tambahan oleh CTOS dalam agensi penarafan,” tambah sumber itu.

 

Tahun lalu, CTOS meningkatkan pegangan saham syarikatnya dalam RAM Holdings, yang merupakan sebuah agensi penarafan kepada 8.1%, ia membelanjakan RM7.6 juta bagi 350,000 saham.

 

Suruhanjaya Sekuriti adalah pembuat keputusan berhubung pengeluaran bon korporat, sekuriti, niaga hadapan, penggabungan syarikat dan saham selain turut bertindak sebagai pendaftar prospektus syarikat.

 

SC ditubuhkan pada 1993 sebagai badan berkanun di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti, ia mempunyai kuasa yang luas dalam mengawal selia pasaran modal.

 

Selain daripada membuat keputusan mengenai isu-isu pengeluaran bon korporat, sekuriti, niaga hadapan, penggabungan syarikat dan saham, SC juga bertindak sebagai pendaftar prospektus syarikat.


 

azam baki
                                             Tan Sri Azam Baki

 


Pendedahan mengenai pegawai SC yang terbabit dengan perniagaan dilihat sebagai sebagai satu perkara yang menarik, kerana badan itu kini sedang menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri  Azam Baki berhubung pemilikan saham syarikat bersama adiknya.

 

Azam menafikan dakwaan melalui artikel dalam talian oleh Lalitha Kunaratnam yang mempunyai kaitan dengan C4 Centre, sebuah NGO yang diketuai oleh aktivis Cynthia Gabriel.

 

Dakwaan terhadap beliau itu juga turut diulangi rakan pengarah Gabriel di C4 Center, Edmund Terence Gomez, yang kemudiannya meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM.

 

Semalam, Azam turut memfailkan saman fitnah bernilai RM10 juta terhadap Lalitha.


 

Lalitha Kunaratnam
Lalitha Kunaratnam

 


Walaupun penglibatan pengarah SC dalam syarikat tidak dilarang oleh undang-undang, ia mungkin menimbulkan persoalan sejauh mana suruhanjaya itu boleh kekal bebas dalam tugas utamanya dalam mengawal selia pasaran modal.

 

“SC mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan pasaran modal, di mana ia akan memberi kesan kepada syarikat senaraian awam,” kata seorang ahli perniagaan terkemuka ketika ditunjukkan dokumen yang diperoleh MalaysiaNow.

 

“Bagaimanakah ahli lembaga kawal selia sekuriti negara yang terlibat dalam perniagaan tidak mempengaruhi keputusan mereka dalam SC, walaupun mereka memegang jawatan pengarah bukan eksekutif?

 

“Sekarang ini, apa yang kita lihat ialah potensi konflik kepentingan dalam siasatan kes konflik kepentingan oleh sebuah badan yang diterajui individu-individu yang mempunyai konflik kepentingan,” katanya.

 

Pada Isnin, beberapa individu memfailkan laporan SPRM terhadap SC, memetik tiga contoh salah laku dan rasuah pengarah dan beberapa ahli politik kanan.

 

Ia termasuk laporan melibatkan konflik kepentingan ahli lembaga pengarah melibatkan RM28.2 juta. Satu lagi contoh salah laku itu melibatkan ahli keluarga pegawai tertinggi SC dan dakwaan rasuah untuk menutup siasatan kes perdagangan orang dalam terhadap sebuah syarikat senaraian awam. - DagangNews.com