Konsep pandu lalu Gloria Jean's Coffees bakal diperkenal Pernas akhir tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Konsep pandu lalu Gloria Jean's Coffees bakal diperkenal Pernas akhir tahun hadapan

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor menunjukkan minuman Gloria Jean’s Coffees yang diberi nafas segar dengan cawan berwarna oren, yang merupakan sebahagian daripada langkah penjenamaan semula kopi antarabangsa ini. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Gloria Jean’s Coffees (GJC) bakal memperkenalkan konsep pandu lalu buat pertama kali selewat-lewatnya pada separuh kedua tahun hadapan sejajar dengan komitmen Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) untuk memperkukuhkan lagi jenama kopi antarabangsa ini.  

 

Langkah tersebut juga merupakan sebahagian daripada penjenamaan semula GJC yang mula dilaksanakan pada 2020 bagi memberi wajah baru kepada jenama ini yang berasal dari Queensland, Australia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, setakat ini Pernas menerima banyak permintaan daripada pihak-pihak yang berminat untuk menawarkan konsep ini terutamanya daripada stesen minyak. 

 

Katanya, buat masa ini, beberapa perbincangan sedang dijalankan membabitkan pihak berkaitan antaranya BHPetrol. 

 

"Sekiranya, semuanya berjalan lancar, kami jangkakan dapat membuka sekurang-kurangnya 1 konsep pandu lalu GJC di Lembah Klang pada akhir tahun hadapan.

 

"Pengenalan konsep pandu lalu ini juga merupakan sebahagian daripada sasaran pembukaan 16 cawangan baharu GJC pada 2022 termasuk di stesen-stesen LRT. 

 

"Malah, pihak BHPetrol sendiri menawarkan kepada kami sehingga 18 stesen minyak milik mereka di Lembah Klang untuk dipertimbangkan bagi pembukaan cawangan pandu lalu ini," katanya dalam temu bual dengan media baru-baru ini. 

 

gjc3
Menu asam pedas adalah antara keunikan yang ditampilkan Gloria Jean's Coffee di Malaysia bagi memenuhi selera tempatan.

 

 

Secara dasarnya, jenama kopi global ini telah membuka lebih 890 cawangan di lebih 43 negara di serata dunia. 

 

Malaysia merupakan antara 5 negara teratas yang mempunyai lebih daripada 20 buah cawangan dan kini mempunyai 42 cawangan di seluruh negara.

 

GJC mula beroperasi sejak 2006 setelah memperoleh hak francaisi induk bagi Malaysia dan Brunei melalui Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise) yang merupakan anak syarikat Pernas.

 

Pernas merupakan pemegang francais induk bagi jenama GJC di Malaysia, Brunei dan Myanmar.

 

Pembaharuan imej GJC yang dilaksanakan oleh francaisor di Australia bertujuan memberi imej dan wajah baharu kepada jenama GJC adalah sejajar dengan perubahan zaman dan kehendak pelanggan masa kini dengan penggunaan warna kini tertumpu kepada hitam, putih dan oren.

 

Seiring dengan selera tempatan, GJC memiliki keunikan tersendiri berbanding jenama kopi lain kerana turut menawarkan hidangan seperti asam pedas dan gulai lemak daging salai kepada pelanggan.

 

 

Apakah bantuan yang disediakan Pernas? 

 

 

Mohd. Hilaluddin berkata, GJC merupakan satu-satunya jenama kopi antarabangsa ternama di Malaysia yang menawarkan peluang perniagaan francais dan membolehkan para usahawan memiliki serta mengendalikan kafe sendiri.

 

Selain itu, katanya, Pernas turut menggalakkan para francaisi sedia ada untuk menambah lagi cawangan dengan membuka cawangan kedua dan seterusnya supaya dapat meningkatkan pendapatan francaisi di samping menambah cawangan-cawangan GJC sedia ada.

 

"Ini membuktikan Pernas bukan sekadar membimbing dan membantu usahawan di luar untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang francais, malah Pernas sendiri menguruskan jenama-jenama francais di bawah kami," jelasnya.

 

 

gjc1
Jenama kopi yang berasal dari Queensland, Australia ini mula beroperasi di Malaysia pada 2006. 

 

 

Bagi mereka yang berminat, Pernas menawarkan pembiayaan kepada para francaisi GJC sehingga 70%. 

 

Melalui projek Be Your Own Boss (BYOB) yang telah diperkenalkan Pernas tahun ini, bakal francaisi boleh menikmati pembiayaan sehingga 90%. 

 

Menurut beliau, pada tahun lalu, GJC telah menawarkan pakej tambahan francais baharu iaitu konsep coffee cart atau pushcart dengan pakej serendah RM270,000 bagi menggalakkan orang ramai memulakan perniagaan dengan pakej mampu milik. 

 

 

gj6
Merupakan satu-satunya jenama kopi antarabangsa di Malaysia yang menawarkan peluang perniagaan francais.

 

 

Sejajar dengan keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya akibat kesan daripada pandemik COVID-19, katanya, GJC turut menawarkan pakej francais yang menawarkan pelaburan rendah berbanding pakej sedia ada.

 

"Tawaran pakej ini dapat mengurangkan pelaburan bakal francaisi di samping menyokong hasrat kerajaan untuk memperbanyakkan lagi pakej francais mampu milik di Malaysia," tambah beliau.

 

Di samping itu, bagi membantu meningkatkan jualan, para pelanggan GJC juga boleh membuat pesanan secara atas talian melalui tempahan laman web pesanan sendiri (web-self ordering) dan aplikasi penghantaran makanan oleh penyedia platform atas talian pihak ketiga.

 

Pernas turut menawarkan pakej seperti pakej francais mampu milik bernilai RM270,000 (coffee cart), RM550,000 (kiosk) dan RM770,000 (lot kedai).

 

Semua francaisi GJC boleh mendapat akses pembiayaan dan bantuan daripada Pernas. -DagangNews.com