KUALA LUMPUR 18 Jan - Sebuah konsortium, diterajui SMTrack Bhd bersama lima syarikat senaraian lain, menandatangani Perjanjian Awal (HoA) dengan 5G Infra Tech Solution Sdn Bhd (5GInfraTech) untuk melaksanakan pelbagai langkah korporat.
Langkah korporat itu menyasarkan untuk mengumpul dana dan membiayai projek berkaitan 5G dan gentian optik oleh Digital Nasional Bhd (DNB) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Lima lagi syarikat lain ialah Country Heights Holdings Bhd, Jiankun International Bhd, Sersol Bhd, Techna-X Bhd dan MQ Technology Bhd.
Pada sidang media bersama, Timbalan Pengerusi Eksekutif SMTrack, Azmi Osman berkata, konsortium itu menjangkakan banyak usaha sama membiayai pemasangan menara telekomunikasi 5G.
“5GInfraTech akan melaksanakan projek 5G pertamanya dengan kerjasama Ennova Sdn Bhd (Ennova), antara kontraktor untuk projek 5G oleh DNB.
“Pelaburan dalam syarikat telekomunikasi 5G seperti Ennova akan meningkatkan aliran pendapatan dan keuntungan konsortium,” katanya pada majlis menandatangani HoA itu pada 17 Januari.
Turut hadir ialah Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusoff.
Country Heights Holdings Berhad diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Jared Lim Chih Li; Jiankun oleh Pengarah Eksekutif, Datuk Seri Tan Choon Hwa; 5GInfraTech oleh Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff; Sersol oleh Pengarah Urusan, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat; Techna-X Berhad oleh Pengarah Eksekutif, Ahmad Rizan Ibrahim dan MQ Technologies Berhad oleh Pengarah Eksekutif, Terence Cheah Eu Lee.
Sementara itu, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff berkata, Ennova merupakan yang pertama menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan syarikat itu untuk membiayai pelaksanaan rangkaian 5G.
Beliau berkata, Ennova merancang untuk memasang dan menyelenggara 350 menara telekomunikasi di seluruh Kuala Lumpur.
“Dengan pembiayaan yang besar daripada 5GInfraTech, Ennova dapat melancarkan 10,000 menara di seluruh Malaysia dengan mudah,” kata Saiful Nizam.
Menurut beliau, konsortium itu akan membiayai semua kos pembinaan dan operasi 5G untuk 5GInfraTech.
Dalam pada itu, Mohd Redzuan dalam ucapan berkata, konsortium itu, yang diterajui oleh SMTrack akan membolehkan projek rangkaian 5G Malaysia dibiayai di peringkat tempatan, sekali gus menjimatkan berbilion aliran keluar tukaran asing untuk negara. - DagangNews.com