Konsortium Sunway Construction raih projek RM315 juta di India  | DagangNews Skip to main content

Konsortium Sunway Construction raih projek RM315 juta di India 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kumpulan Sunway Construction Berhad (SunCon) berjaya meraih sebuah projek jalan raya di India yang bernilai RM315 juta menerusi sebuah konsortium.

Konsortium itu dibangunkan oleh anak syarikat SunCon, Sunway Construction Sdn. Bhd. (SCSB) dan RNS Infrastructure Limited (RNS).

Projek berkenaan dikeluarkan oleh Lembaga Lebuh Raya Nasional India (NHAI).

Kontrak projek itu turut merangkumi upah penyelenggaraan dan operasi selama 15 tahun bernilai RM0.85 juta yang akan dibayar setiap tahun. 

Projek tersebut melibatkan pembinaan dua lorong jalan raya berturap bermula di Meensurutti ke Chidambaram di Tamil Nadu. 

“Projek itu akan dikendalikan di bawah Hybrid Annuity Mode (HAM) untuk tempoh konsesi 15 tahun dengan tambahan dua tahun untuk pembinaan. Pembinaan projek itu dijangka bermula dalam tempoh 195 hari bermula Perjanjian Konsesi yang akan ditandatangani kelak.

“Di bawah HAM, NHAI akan membayar 40% daripada kos projek itu dalam tempoh dua tahun pertama pembinaan menerusi lima kali ansuran dan 60% lagi dibayar selama 15 tahun sebagai jumlah anuiti tetap ditambah faedah sejajar kadar Rizab Bank India (RBI), + 3%,” kata SunCon menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia. 

Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan SunCon bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan seterusnya. 

RNS merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di India dan menyediakan pelbagai perkhidmatan pembinaan infrastruktur seperti empangan, lebuh raya, jambatan, terowong, jana tenaga, dan bangunan kediaman.

“Projek itu mempunyai fasal turun dan naik harga sepanjang tempoh pembinaan dua tahun dan 15 tahun untuk penyelenggaraan.

“Semua kos dalam projek ini berbentuk mata wang India,” tambah SunCon. 

Pada tahun ini, Kumpulan SunCon berjaya mengumpulkan beberapa buah projek yang bernilai RM2.319 bilion. - DagangNews.com