Konsortium Transnasional dapat kontrak pembinaan RM109.61 juta di Perak | DagangNews Skip to main content

Konsortium Transnasional dapat kontrak pembinaan RM109.61 juta di Perak

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Sept - Konsortium Transnasional Bhd. (KTB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Transnational Builder Sdn. Bhd. memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM109.61 juta. 

 

Ia menerima surat anugerah (LOA) bagi kontrak tersebut daripada Maju Teluk Batik Sdn. Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Kontrak tersebut membabitkan kerja-kerja cerucuk, tanah dan pembinaan dua bangunan pangsapuri termasuk tempat letak kenderaan bagi pembangunan bercampur di Bandar Meru Raya, Hulu Kinta, Perak.

 

"Kerja-kerja pembinaan itu sepatutnya mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan bermula 1 Januari 2023," katanya.

 

KTB menjangkakan kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham dan pemegangan utama kumpulan kerana tidak membabitkan terbitan modal saham.

 

"Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan KTB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya," tambahnya. 

 

Pada 2021, KTB mengambil langkah mempelbagaikan perniagaan dalam sektor pembinaan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Transnational Builder sebagai sumber pendapatan alternatif kumpulan tanpa bergantung sepenuhnya kepada industri bas ekspress. - DagangNews.com