Kontrak kapal tempur pesisir pantai: SPRM tahan 2 CEO | DagangNews Skip to main content

Kontrak kapal tempur pesisir pantai: SPRM tahan 2 CEO

Dermaga Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) di Lumut, Perak. - Gambar BNS

PUTRAJAYA 26 Jan -  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat semalam  susulan penemuan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

 

Menurut sumber SPRM, individu yang masing-masing berusia 49 dan 79 tahun merupakan CEO syarikat yang terlibat dalam projek tersebut ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini petang semalam.

 

Sumber itu berkata kedua-dua individu itu disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara. 

 

Seorang daripada mereka juga disyaki menerima rasuah daripada subkontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek tersebut, menurut sumber itu.

 

Sumber itu berkata, siasatan kes tersebut tertumpu kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

 

Pada 21 Nov lepas, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid membuat laporan kepada SPRM berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.


 

lcs

 


Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dengan RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal tersebut secara serentak. - DagangNews.com