Kontrak Pelabuhan Sapangar yang diterima WCT ‘mengejutkan’- Kenanga | DagangNews Skip to main content

Kontrak Pelabuhan Sapangar yang diterima WCT ‘mengejutkan’- Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kenanga Research menyifatkan kejayaan syarikat pembinaan dan kejuruteraan, WCT Holdings Berhad yang memperoleh kontrak untuk perbesarkan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) satu ‘kejutan’ positif. 

 

Ini memandangkan firma penyelidikan itu tidak menyangka bahawa mana-mana projek awam akan dilancarkan semasa pandemik COVID-19 sedang 'memuncak' ketika ini, menurut penganalisisnya, Lum Joe Shen.

 

Dalam masa sama, jumlah kontrak yang dimenangi WCT bernilai RM1.12 bilion juga melebihi sasaran Kenanga, iaitu RM1 bilion.

 

“Susulan daripada kontrak ini, kami meningkatkan sasaran penambahan semula pesanan buku sebanyak 20% kepada RM1.2 bilion.

 

“Kami masih lagi mengekalkan sasaran penambahan semula (nilai kontrak projek) di bawah unjuran RM2.0 bilion oleh pihak pengurusan kerana kami fikir tender besar lain yang disasarkan WCT seperti Jalan Perangkai Pan Borneo Sabah serta Sabah dan Sarawak tidak akan dilancarkan tahun ini kerana kerajaan dijangka menyimpan dana untuk mengutamakan pakej bantuan pandemik. 

 

“Sebagai rekod, dana untuk projek perluasan SBCP telah diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” jelas Joe Shen dalam satu nota kajian.

 

Dalam satu makluman oleh WCT di Bursa Malaysia semalam, usaha sama yang tidak diperbadankan antara anak syarikat milik penuhnya WCT Berhad dan China Communications Construction Co (M) Sdn. Bhd. (CCCC) telah menerima kontrak berkenaan oleh kerajaan bernilai RM899.8 juta.

 

Usaha sama itu dijalankan secara 60:40 antara anak syarikat milik penuhnya dan CCCC, sekali gus akan menjadi kontraktor utama bagi projek berkenaan yang dijangka bermula September 2021 dan dijadualkan selesai menjelang Februari 2025.

 

Seiring sasaran penambahan semula pesanan buku yang lebih tinggi, Kenanga meningkatkan unjuran perolehan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 3% kepada RM84 juta. 

 

Joe Shen menjangkakan kontrak itu bakal mendatangkan margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 8%,

 

Dalam pada itu, walaupun jumlah nilai kontrak yang dimenangi WCT melebihi unjuran TA Securities, namun firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘jual’ saham syarikat dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM0.44 sesaham. 

 

Penganalisisnya, Chan Mun Chun berkata, prospek jangka pendek perniagaan pusat beli-belah runcit dan hotel akan terus mencabar susulan penguatkuasaan sekatan pergerakan yang lebih ketat oleh kerajaan ketika ini. ‘- DagangNews.com