Kontrak RTS 'laluan' lebih banyak projek antarabangsa buat Pestech - Firma | DagangNews Skip to main content

Kontrak RTS 'laluan' lebih banyak projek antarabangsa buat Pestech - Firma

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Kejayaan Pestech International Berhad untuk memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS) antara Malaysia dan Singapura membuktikan kemampuan teknikal kumpulan itu yang bertaraf global. 

 

Walaupun nilai projek itu kecil, namun bagi penganalisis di Kenanga Research, Teh Kian Yeong, perolehan kontrak itu sekali gus mengiktiraf keupayaan EPCC oleh Pestech sebagai rujukan untuk memenangi lebih banyak projek di luar negara. 

 

“Oleh itu, kami positif terhadap kemenangan ini yang menjadikan jumlah kontrak setakat ini bernilai RM335 juta, secara rasmi bagi tahun kewangan 2021 (FY21), sebagai tambahan kepada pesanan buku bernilai RM2.2 bilion setakat Februari 2021.

 

“Namun, kami mengekalkan unjuran bagi FY21 hingga FY22,” jelas Kian Yeong dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Semalam, syarikat teknologi tenaga itu mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Pestech Technology Sdn. Bhd. memperoleh Surat Penerimaan dari RTS Operations Pte Ltd berhubung kerja EPCC untuk bekalan tenaga daya aset RTS sepanjang 4 kilometer bernilai RM64.95 juta. 

 

Projek itu akan dimulakan dengan segera dan disasarkan selesai menjelang September 2026. 

 

Tambah Kian Yeong, Pestech ketika ini masih aktif untuk memenangi projek infrastruktur tenaga termasuk kerja-kerja pengelektrikan kereta api di kedua-dua pasaran tempatan dan luar negara. 

 

Ini bermakna kumpulan berkenaan mempunyai banyak projek yang bakal dikendalikan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. 

 

Selain itu, projek tempatan utama seperti Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) kini beralih ke tahap seterusnya yang bakal menyumbangkan margin lebih baik buat Pestech bagi suku tahun akan datang. 

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘outperfom’ ke atas Pestech dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.46 sesaham. 

 

“Risiko kepada penarafan ini termasuk kegagalan mengisi semula buku pesanan dan lebihan kos,” jelas Kian Yeong. 

 

Setakat 11.54 pagi, harga saham Pestech menokok 2 sen kepada RM1.07. - DagangNews.com