Kontrak untuk Pilihan Raya Sarawak, rancakkan minat terhadap Hubline | DagangNews Skip to main content

Kontrak untuk Pilihan Raya Sarawak, rancakkan minat terhadap Hubline

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pasaran saham tempatan memulakan dagangan dengan pergerakan positif setelah berakhir lemah pada penutupan semalam. 

 

Indeks utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI dibuka 0.16 mata atau 0.01% lebih tinggi kepada 1,581.75 daripada paras petang semalam, 1,581.59. 

 

Pagi ini, pergerakan menaik indeks penanda aras itu terutamanya dipacu oleh saham dalam sektor tenaga, dan diikuti oleh Pasaran ACE, indeks saham patuh syariah dengan pasaran modal sederhana, produk perindustrian, dan indeks minyak sawit.

 

Rakuten Trade Research mengunjurkan indeks itu akan didagangkan dalam lingkungan julat 1,575 hingga 1,585, hari ini.

 

“Bagi bursa tempatan, penyusutan menyebabkan prestasi FBM KLCI menjadi lebih rendah, semalam. 

 

“Namun, indeks penanda aras itu berjaya untuk kekal di atas paras 1,580 menunjukkan terdapat beberapa aktiviti pemburuan saham murah,” jelas firma itu dalam satu nota kajiannya. 

 

Menariknya pagi ini, saham Hubline Berhad memulakan dagangan paling aktif selepas mengumumkan perolehan kontrak hampir RM26 juta melibatkan perkhidmatan sewa helikopter dan pesawat bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak. 

 

Baca : Hubline dapat kontrak sewa helikopter, pesawat RM26 juta untuk PRN-12 Sarawak

 

Sebanyak 455,279 saham bertukar tangan setakat laporan ditulis, namun harga sahamnya dibuka tidak berubah pada 4 sen. 

 

Turut menjadi perhatian pelabur adalah saham UCrest Berhad yang mengumumkan kerjasama dengan syarikat liabiliti terhad dari Rusia bagi pengeluaran vaksin Sputnik V. 

 

Baca : UCrest tandatangani perjanjian induk pengeluaran vaksin Sputnik V dengan RDIF

 

Saham itu juga dibuka tidak berubah pada 36 sen dengan 73,467 dagangan saham bertukar tangan setakat ini.

 

Saham Kuala Lumpur Kepong Berhad pula memulakan dagangan di dalam kalangan kaunter paling untung, menokok 20 sen kepada RM21 setakat 9.22 pagi. 

 

Baca : KLK buat tawaran pengambilalihan berwajib baki saham IJM Plantations 

 

Ini diikuti oleh saham Khind Holdings Berhad, Fraser & Neave Holdings Berhad, BSL Corporation Berhad, Dancomech Holdings Berhad dan PMB Technology Berhad.

 

Dalam kalangan kaunter rugi pula, saham UMS Holdings Berhad memulakan dagangan paling lemah, menyusut 17 sen kepada RM2.55. 

 

Secara keseluruhannya, dagangan pagi ini beraksi agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 196 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 83 dengan 295 kaunter tidak berubah dan 1653 lagi tidak didagangkan. - DagangNews.com