Koperasi disasar sumbang 5% dalam KDNK menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Koperasi disasar sumbang 5% dalam KDNK menjelang 2025

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

KUALA LUMPUR 16 Mac. - Sumbangan sektor koperasi negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat kepada 5% menjelang 2025.

 

Sasaran yang diletakkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu dinilai kepada Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKom) bagi memperkasakan sektor tersebut.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sektor koperasi mempunyai potensi besar dalam sumbangan KDNK negara serta menjadi agenda tepat dalam pembangunan golongan B40 dan golongan sasar yang lain.

 

"Ketika ini, sektor koperasi hanya menyumbang sekitar tiga ke empat peratus kepada KDNK dan angka ini akan terus dipertingkatkan tahun ke tahun.

 

"Kerajaan juga menyasarkan pendapatan sektor ini akan melonjak kepada RM100 bilion menjelang 2030, seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030. 

 

"Lantaran itu, MEDAC komited meneruskan serta memperkukuhkan sektor koperasi melalui TransKom," katanya dalam sesi taklimat media seperti dilapor Berita Harian.

 

Dalam taklimat sama, beliau memberitahu, pihaknya turut membuat unjuran peningkatan pendapatan sektor koperasi kepada RM60 bilion.

 

Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding RM40 bilion pada ketika ini.

 

Menyentuh berkaitan transformasi koperasi, beliau memberitahu, TransKom akan membantu meningkatkan tahap sosioekonomi dan kesejahteraan anggota koperasi, mengoptimumkan Kumpulan Wang Koperasi serta memudahkan pengawal seliaan termasuk dasar dan perundangan.

 

Ujarnya, perkara itu bagi membolehkan sektor koperasi terbabit dalam perniagaan bernilai tinggi seperti pelaburan dalam syarikat tersenarai serta pembabitan dalam projek mega nasional dari segi kejuruteraan dan pembekalan.

 

"Kerajaan juga akan terus memperkasakan modal insan dan menarik lebih ramai golongan muda serta profesional menjadi ahli serta menubuhkan koperasi.

 

"Kita mahu menukar persepsi koperasi selama ini yang hanya dikenali sebagai pemberi pembiayaan semata-mata. Kita mahu tingkatkan perniagaan dan pendapatan koperasi di Malaysia.

 

"Apabila pendapatan dipertingkat melalui kepelbagaian perniagaan, secara tidak langsung ia akan membantu meningkat pemberian semula kepada anggota," tambah beliau lagi. - DagangNews.com