Koperasi Tentera, MyMy meterai MoU urus niaga bernilai RM10 juta | DagangNews Skip to main content

Koperasi Tentera, MyMy meterai MoU urus niaga bernilai RM10 juta

 (Dari kiri) Pengasas bersama MyMy, Kishore Samuel dan Joe McGuire, Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera Brig. Jeneral Datuk Ahmad Zahudi Salleh (B) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Ghazali Abbas.

(Dari kiri) Pengasas bersama MyMy, Kishore Samuel; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MyMy, Joe McGuire; Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera Brig. Jeneral Datuk Ahmad Zahudi Salleh (B) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Ghazali Abbas.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) dan syarikat pemula teknologi kewangan fintech MyMy Holdings Pty Ltd (MyMY) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memuktamadkan salah satu pusingan pendanaan awal terbesar di negara ini.

Brig Jeneral (B), Datuk Ahmad Zahudi berkata, kerjasama tersebut adalah untuk mewujdukan perkhidmatan kewangan sekali gus mambantu ahli koperasi dan keluarga masing-masing.

"Kami sukacita untuk melabur dengan MyMy dan mengumumkannya sebagai rakan kongsi strategik fintech Koperasi Tentera. Menerusi kerjasama ini, kami merancang untuk memperkenalkan beberapa perkhidmatan kewangan kepada ahli-ahli kami dan keluarga mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ini termasuk mendigitalisasikan pembayaran dividen bagi menggantikan cek, menyediakan akaun digital dan e-dompet," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Perjanjian tersebut dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera, Brig Jeneral (B) Datuk Ahmad Zahudi Salleh dan Ketua Eksekutif dan Pengasas Bersama MyMy, Joe McGuire.

Berikutan pelaburan tekini Koperasi Tentera bernilai RM10 juta serta pelaburan yang sedia ada, pusingan pendanaan awal MyMY kini berjumlah RM12 juta.

Pusingan itu melonjakkan nilai fintech kepada lebih RM50 juta sekali gus melayakkannya kepada modal berperaturan yang diperlukan untuk memohon lesen wang elektronik (e-Money) Bank Negara Malaysia (BNM).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MyMy, Joe McGuire berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan pihak Koperasi Tentera untuk menjayakan rancangan mereka dalam penyediaan perkhidmatan kewangan digital kepada hampir 160,000 ahli.

"Dengan suntikan modal besar daripada Koperasi tentera ini, kami akan memohon lesen e-Money daripada BNM untuk beroperasi dalam beberapa bulan akan datang.

"Ini adalah langkah pertama dalam usaha kami untuk beroleh salah satu Lesen Perbankan Digital ulung di Malaysia yang akan dikeluarkan pada tahun 2021," jelasnya lagi. - DagangNews.com