Skip to main content

Koridor ekonomi Melaka, M-WEZ ‘intai’ pelaburan RM100 bilion

SULAIMAN MD ALI (empat dari kiri) bersama-sama Hasim Hasan (tiga dari kir) dan Yusof Abu Bakar (dua dari kiri) pada majlis pelancaran M-WEZ di Kuala Lumpur

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Pembangunan koridor ekonomi berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) dijangka menarik pelaburan baharu bernilai lebih RM100 bilion dalam tempoh 15 tahun ke negeri itu, dengan 20,000 pekerjaan diwujudkan setiap tahun. 

 

Ini sekali gus bakal menyumbang 5% setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka. 

 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr. Sulaiman Md. Ali menyifatkan M-WEZ sebagai “game-changer” dan “economic enabler” bagi negeri Melaka.

 

“Memandangkan persaingan yang semakin meningkat, Melaka perlukan pemacu-pemacu baharu dalam pembangunan ekonominya.

 

SULAIMAN MD ALI menyampaikan ucapan sebelum merasmikan majlis pelancaran M-WEZ di Kuala Lumpur.
SULAIMAN MD ALI menyampaikan ucapan sebelum merasmikan majlis pelancaran M-WEZ di Kuala Lumpur.

 

 “Melaka juga perlu membangunkan bidang pertumbuhan (growth area) baharu yang lebih inklusif dan mapan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran M-WEZ di sini.

 

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan; dan Ketua Eksekutif M-WEZ, Yusof Abu Bakar, selain 300 orang termasuk tokoh-tokoh korporat, para pelabur, pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri serta duta-duta negara asing. 

 

M-WEZ membabitkan kawasan seluas 10,117 hektar sepanjang 33 kilometer pesisir pantai Melaka. 

 

Kerajaan negeri menyifatkan kewujudan zon ekonomi tersebut sebagai ‘Big Move’ dalam agenda pembangunan negeri Melaka dengan sasaran kemasukan pelaburan berkualiti tinggi yang membawa masuk pekerja berkemahiran tinggi. 

 

Pembangunan M-WEZ akan melengkapkan jaringan pembangunan koridor ekonomi di seluruh negara, memandangkan kini Melaka satu-satunya negeri tanpa koridor ekonomi.

 

Dalam ucapan beliau, Sulaiman berkata, M-WEZ adalah antara tonggak utama dalam Pelan Strategik Melakaku Jaya 2035. 

 

Untuk rekod, pelan tersebut merupakan hala-tuju dan wawasan negeri Melaka sebagai negeri maju dan lestari dalam tempoh 15 tahun akan datang.

 

“Tahun ini, kami menjangkakan pelaburan akan mencecah RM5 bilion. Terdapat banyak pelaburan baharu yang masuk ke Malaysia.

 

“Ini termasuk syarikat semikonduktor gergasi Jerman,  Infineon Technologies yang mahu melabur sebanyak RM3.25 bilion di Malaysia, dengan kebanyakkannya di Melaka bagi tempoh 10 tahun hingga 2029.

 

“Dengan kira-kira 9,000 pekerja, Infineon merupakan majikan terbesar di Melaka, menyumbang 2% kepada jumlah tenaga kerja di negeri ini,” ujarnya.

 

Sementara itu, Ahli Lembaga Penasihat M-WEZ, Datuk Azmar Talib melihat M-WEZ bukanlah sebuah pembangunan hartanah semata-mata, sebaliknya penggerak ekonomi pada masa hadapan. 

 

Katanya, Melaka mempunyai dua kekuatan yang menjadi asas koridor M-WEZ iaitu nilai sejarahnya dan kedudukannya yang terletak di tepian pantai, bakal menjadikannya lebih baik berbanding tempat-tempat lain. - DagangNews.com