Kos pelarasan tarif elektrik melalui ICPT dianggarkan cecah RM20 bilion - Takiyuddin | DagangNews Skip to main content

Kos pelarasan tarif elektrik melalui ICPT dianggarkan cecah RM20 bilion - Takiyuddin

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kos pelarasan tarif elektrik melalui Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 dianggarkan mencecah hampir RM20 bilion.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah itu adalah tiga kali ganda daripada kos RM7 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini. 

 

“Bayangkanlah dengan RM7 bilion sepatutnya kadar surcaj 11.81 sen/kWj (yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna). Kalau dah hampir RM20 bilion kita amat bimbang perkara ini dan kerajaan amat berhati-hati.

 

“Atas dasar ini juga kerajaan sedang mengkaji langkah perlu diambil antaranya subsidi yang diberikan kerajaan di masa depan adalah bersasar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu  langkah diambil kerajaan dalam berdepan krisis tenaga global. 

 

Menjawab soalan asal Wan Martina mengenai langkah kerajaan mengekang kenaikan tarif elektrik, Takiyuddin berkata antara usaha diambil termasuk mengutamakan bahan api paling murah untuk penjanaan elektrik, lapor Bernama.

 

 

takiyuddin
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

 

 

Selain itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara antaranya adalah dengan meningkatkan campuran tenaga boleh baharu kepada 31% pada 2025 dan 40% pada 2035 sebagaimana sasaran ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER). - DagangNews.com