KPDNHEP terus beri jaminan bekalan tidak terjejas | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP terus beri jaminan bekalan tidak terjejas

Rosol Wahid (kiri) ketika melakukan pemeriksaan di pasar borong NSK Trade City, Kota Damansara, Selangor hari ini.

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan aktiviti perniagaan khususnya kedai runcit, pusat beli-belah dan pasar raya tidak akan terjejas walaupun kerajaan menguatkuasakan arahan bekerja dari rumah mulai esok. 

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ini kerana pasukan penguat kuasa KPDNHEP sentiasa komited menjalankan tugas melakukan pemantauan dan pemeriksaan berterusan bagi menjamin kesejahteraan pengguna.

Katanya, tindakan membeli barangan melebihi keperluan isi rumah bukan sahaja memberi kesan buruk kepada pengguna kerana perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi, tetapi juga mendorong kepada kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan.

"Saya menasihatkan pengguna supaya tidak bimbang bekalan makanan terputus dan tidak melakukan pembelian panik terutama selepas kerajaan memperketatkan lagi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan mengarahkan pekerja sektor awam dan swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan untuk bekerja dari rumah sehingga tempoh PKPB tamat," katanya dalam kenyataan selepas melakukan pemeriksaan ke pasar borong NSK Trade City, Kota Damansara, Selangor hari ini. 

Sejak PKPD dilaksanakan di Sabah mulai 13 Oktober lalu dan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 14 Oktober 2020, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah melakukan pemeriksaan
di 510 peruncit terpilih daerah (DDR) di kawasan berkenaan.

Selain pemantauan di peringkat runcit, bekalan juga dipantau secara mingguan di peringkat borong di keempat-empat negeri terbabit merangkumi 214 premis pemborong terpilih daerah (DDW).

Menurut Rosol, hasil pemantauan dan pemeriksaan berterusan anggota penguat kuasa KPDNHEP sepanjang tempoh PKPB di empat negeri terlibat mendapati, semua peringkat borong dan runcit mempunyai kadar
keberadaan bekalan yang mencukupi sehingga 100%.

Beliau juga mengingatkan para peniaga untuk memberi kerjasama dan  tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati. 

"Peniaga yang didapati cuba mengaut keuntungan berlebihan dan menganiaya pengguna boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya. - DagangNews.com