KPFB, Siab meterai MoU bagi projek perumahan RM389 juta di Selayang | DagangNews Skip to main content

KPFB, Siab meterai MoU bagi projek perumahan RM389 juta di Selayang

MoU tersebut ditandatangani Meryl Lim (empat dari kanan) dan Datuk Sabari Misran (empat dari kiri) yang disaksikan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (tengah, belakang).

KUALA LUMPUR 19 Mei - Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Siab Development Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan tanah di Sungai Tua, Selayang, Selangor dengan jumlah nilai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM389 juta.

 

Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran berkata, projek perumahan KPFB PR1MA dan KPFB Residensi itu melibatkan tanah milik KPFB berkeluasan 7.9 ekar.

 

“Kakitangan FELCRA Bhd dan golongan B40 akan diberi keutamaan untuk membeli rumah tersebut.  Projek ini disokong oleh FELCRA dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

“FELCRA dan SKM sentiasa menggalakkan koperasi melabur dalam bidang hartanah kerana ia terbukti menguntungkan dan menjanjikan pulangan yang lumayan,” katanya pada majlis menandatangan MoU dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, di sini semalam.

 

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Siab Holdings Bhd, Meryl Lim dan Pengerusi KPFB Datuk Sabari Misran yang  disaksikan Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

 

Sabari berkata beberapa koperasi yang mempunyai ahli yang ramai  turut  dilantik sebagai ejen mereka iaitu Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS), Koperasi Kakitangan FELCRA Malaysia Berhad (KKF) dan Koperasi Hartanah Angguna Berhad (KOHAB).

 

Projek perumahan itu mengambil masa selama tiga tahun dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025, menurut Bernama.

 

KPFB dijangka memperoleh keuntungan sebanyak 13% GDV iaitu bersamaan dengan RM50 juta menerusi pemeteraian MoU tersebut. - DagangNews.com