KPJ Healthcare-Rotary bekerjasama laksana projek komuniti kesihatan mata | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare-Rotary bekerjasama laksana projek komuniti kesihatan mata

KUALA LUMPUR 14 Okt –  KPJ Healthcare Berhad penyedia perkhidmatan kesihatan swasta terbesar di Malaysia menjalin kerjasama dengan Rotary International District 3300 untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan dan kesihatan mata, selain menawarkan penyelesaian kepada mereka yang menderita dari masalah kebutaan atau penglihatan yang kabur kerana katarak.

 

Kerjasama antara kedua-dua pihak di mana KPJ Healthcare akan menyediakan dana dan bantuan perubatan untuk 20 pembedahan bagi menyokong Rotary District 3300 untuk memacu inisiatif mengatasi masalah kebutaan yang dapat dicegah dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

 

Ketua Pegawai Korporat KPJ Healthcare, Ariesza Noor berkata, kerjasama KPJ dengan Rotary District 3300 adalah selaras dengan usaha syarikat untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama dan mewujudkan impak positif kepada masyarakat di mana KPJ beroperasi, selain strategi ini bakal menawarkan penyelesaian untuk matlamat Rotary District bagi membantu komuniti dan memberi impak kepada kehidupan penerima bantuan tersebut.

 

Bersempena Hari Penglihatan Sedunia 2021, bertemakan ‘LoveYourEyes’ tambah Ariesza, KPJ ingin secara proaktif menyalurkan maklumat yang tepat dalam membantu pesakit untuk membuat keputusan agar tidak melengahkan sebarang rawatan berpunca daripada kurang kesedaran awam dan kekangan kewangan.

 

‘’Orang ramai boleh tampil untuk menghubungi kami kerana kami sedia membantu mereka mengatasi masalah penglihatan yang dihadapi seterusnya menghindari kesan buruk ekoran daripada masalah kebutaan,” katanya.

 

Hari Penglihatan Sedunia bertujuan untuk menarik perhatian global terhadap masalah kebutaan dan gangguan penglihatan.

 

Statistik dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan jumlah orang bagi semua kumpulan umur yang cacat penglihatan dianggarkan seramai 295 juta, di antaranya 43 juta adalah orang buta.

 

Dari jumlah ini, sebanyak 77% dapat dicegah atau dirawat sepenuhnya. Ini bermakna bahawa 33 juta manusia hidup dengan masalah kebutaan yang dapat dihindari dan 260 juta lagi dengan gangguan penglihatan yang dapat dielakkan.

 

Di Malaysia, kira-kira 1.2% penduduk mengalami masalah kebutaan.

 

Berasaskan kadar ini, dibandingkan dengan jumlah penduduk Malaysia seramai 32.7 juta, dianggarkan 392,400 rakyat Malaysia kehilangan penglihatan sepenuhnya.

 

Menurut Ariesza, supaya kerjasama ini dapat berjalan dengan lancar, Rotary District 3300 akan mendapatkan calon penerima yang layak melalui rangkaian 1.2 juta ahli mereka yang luas untuk menjalani prosedur mata ini.

 

Pembedahan ini akan dijalankan di KPJ Ambulatory Care Centre (KACC) yang akan dilancarkan tidak lama lagi di Bandar Kinrara, yang menempatkan cawangan ke-empat Pusat Pakar Mata KPJ.

 

KACC adalah pusat pakar perubatan pesakit luar yang dianggotai oleh pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan dan pakar perunding pelawat dari pelbagai aspek kepakaran.

 

Pendekatan ini memberi fokus kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu untuk melengkapkan rantaian 28 hospital KPJ Healthcare di Malaysia dan luar negara.

 

KPJ Healthcare, melalui Pusat Pakar Mata KPJ telah menyediakan lebih daripada 350 pembedahan katarak percuma kepada pesakit warga emas sejak tahun 2006. DagangNews.com