KPJ sahkan tiada makluman berhubung cadangan penswastaan setakat ini  | DagangNews Skip to main content

KPJ sahkan tiada makluman berhubung cadangan penswastaan setakat ini 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - KPJ Healthcare Berhad mengesahkan bahawa kumpulan belum menerima sebarang pemberitahuan berhubung cadangan penswastaan daripada mana-mana pihak setakat ini.

 

KPJ yang merupakan salah sebuah hospital swasta terbesar di Malaysia itu mengulas mengenai laporan media berhubung langkah menjadikan kumpulan sebuah syarikat persendirian yang dianggarkan bernilai RM5.4 bilion.

 

“KPJ akan membuat pengumuman penting seperti mana dikehendaki oleh Syarat Penyenaraian Papan Utama jika dan apabila cadangan itu diterima,” jelas KPJ dalam pengumuman syarikat kepada Bursa Malaysia, lewat petang semalam.

 

Baru-baru ini, Johor Corporation dan firma ekuiti dari Amerika Syarikat (AS), TPG Capital dilaporkan dalam pertimbangan untuk menjadikan KPJ sebuah syarikat persendirian. 

 

Kedua-dua pihak tersebut didakwa sedang berbincang dengan institusi perbankan untuk membiayai langkah tersebut, menurut sumber seperti dilaporkan Bloomberg.  

 

Baca : TPG Capital, Johor Corp dilapor pertimbang jadikan KPJ Healthcare syarikat persendirian

 

Bagaimanapun, perbincangan tersebut dikatakan masih berjalan dan dalam masa sama, firma AS dan syarikat milik kerajaan negeri Johor itu boleh memilih untuk tidak meneruskan perancangan berkenaan.  

 

Pagi ini, KPJ memulakan dagangan awal dalam kalangan kaunter paling rugi, merosot 4 sen kepada RM1.15 setakat 9.07 pagi. - DagangNews.com