Skip to main content

KPLB bekerjasama dengan Dr Azizan Osman bimbing usahawan desa capai jualan tahunan RM1 juta pertama

Datuk Seri Mahdzir Khalid bersalaman dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman ketika Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di Putrajaya pada 21 September 2022. Turut kelihatan, Datuk Che Murad Sayang Ramjan (dua, kanan). - Gambar Facebook Mahdzir Khalid
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 22 Sept - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) bekerjasama memperkenalkan Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) bagi membimbing usahawan desa mencapai sasaran jualan tahunan berjumlah RM1 juta pertama. 

 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program berbentuk kejurulatihan dan mentor-mentee itu juga membantu usahawan desa memasarkan produk mereka secara terancang.

 

Beliau berkata, aktiviti itu adalah salah satu daripada beberapa aktiviti sokongan keusahawanan yang telah dirancang di bawah Program Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0). 

 

"Saya dimaklumkan pada peringkat awal, seramai 67 orang usahawan desa telah memohon bagi menyertai program ini. Daripada jumlah itu, seramai 52 orang usahawan desa telah melepasi saringan awal.

 

"Seterusnya tapisan akhir dibuat dan seramai 25 orang usahawan terpilih untuk mengikuti aktiviti bimbingan KU1J@KPLB ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di sini, semalam.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengasas RichWorks, Datuk Wira Dr Azizan Osman.

 

 

kplb

 

 

Menurut Mahdzir, kesemua peserta akhir yang  terpilih akan dibimbing dan diberi tunjuk ajar secara fizikal dan maya selama 12 bulan bagi mencapai jualan tahunan sebanyak RM1 juta dalam tempoh 6 bulan hingga setahun. 

 

"Melalui tempoh berkenaan mereka akan didedahkan mengenai pengurusan pemasaran, pematuhan, operasi, kepimpinan, pembangunan perniagaan dan aktiviti mentoring," katanya.

 

 

mahdzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid

 

 

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KPLB berjaya melahirkan lebih 64,000 usahawan desa menerusi pelbagai agensi di bawahnya. 

 

Beliau berkata, bagi memastikan usahawan desa sentiasa berdaya maju dan kalis kemelesetan ekonomi, pelbagai bantuan seperti geran, pembiayaan, latihan dan pembangunan disediakan KPLB.

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir

 

 

“Bantuan disalurkan bagi memastikan usahawan-usahawan ini dapat meneruskan perniagaan mereka khususnya ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia.

 

"Tetapi mereka tidak boleh mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata. Mereka juga perlu memajukan perniagaan masing-masing dengan menggunakan pendekatan terkini seperti digitalisasi dalam perniagaan," katanya.

 

Katanya, usahawan desa KPLB terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan merangkumi empat sektor utama iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa. - DagangNews.com