KPMG letak jawatan pengaudit luar Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

KPMG letak jawatan pengaudit luar Serba Dinamik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - KPMG PLT (KPMG) telah meletakkan jawatan sebagai pengaudit luar Serba Dinamik Holdings Berhad mengikut Seksyen 281 Akta Syarikat 2016 dengan serta-merta.

 

Ini selepas Serba Dinamik menerima notis daripada firma audit berkenaan semalam, menurut syarikat minyak dan gas itu dalam maklumannya di Bursa Malaysia. 

 

“Dalam notis berkenaan, KPMG menyatakan bahawa saman yang difaikan oleh syarikat pada 22 Jun 2021 terhadap mereka berhubung audit berkanun ke atas tempoh kewangan syarikat berakhir 30 Jun 2021 telah menjejaskan kemampuan mereka untuk meneruskan penglibatan audit dan melepaskan tugas profesional mereka sebagai juruaudit syarikat.

 

“Syarikat ketika ini sedang mengenal pasti pengaudit baharu yang akan dilantik mengikut Seksyen 27(2)(b) Akta Syarikat 2016 dan akan membuat pengumuman segera setelah pelantikan pengaudit baharu dimuktamadkan,” jelas Serba Dinamik, hari ini.

 

Pada 22 Jun lalu, Serba Dinamik mengumumkan bahawa syarikat telah memfailkan saman ke atas KPMG atas dakwaan cuai di dalam pengauditan sehingga mengakibatkannya menanggung kerugian hampir RM5 bilion dari segi permodalan pasaran.

 

Writ saman tersebut telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari sama dengan Serba Dinamik melantik peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili syarikat.

 

Ketika laporan ditulis, saham Serba Dinamik menyusut 5.88% kepada 56 sen. - DagangNews.com

 

Baca : Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai

 

Baca : KPMG bertegas ikut prosedur audit ke atas Serba Dinamik