KPPK rancang bina 2,000 pusat pemprosesan getah krip bantu pekebun kecil | DagangNews Skip to main content

KPPK rancang bina 2,000 pusat pemprosesan getah krip bantu pekebun kecil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) merancang membina 2,000 pusat pemprosesan getah krip bagi membantu 459,000 pekebun kecil getah menjana pendapatan lebih tinggi. 

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata inisiatif itu merupakan usaha untuk menjana pendapatan lebih tinggi kepada pekebun kecil menerusi penjualan getah krip.

 

"Menerusi pusat ini, pekebun kecil boleh menghantar cup lump (getah sekerap) ke sini dan ia akan dijadikan krip yang bernilai lebih tinggi berbanding cup lump sekaligus memberi pulangan lebih tinggi.

 

"Proses itu juga akan membolehkan pekebun kecil menjual sendiri getah krip itu kepada syarikat yang menghasilkan produk berasaskan getah tanpa menggunakan khidmat orang tengah," katanya selepas mengadakan lawatan ke Stesen Penyelidikan Getah Sungai Sari, Lembaga Getah Malaysia (LGM), hari ini, lapor Bernama.

 

Zuraida berkata, pekebun kecil boleh meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan dengan menjual getah krip berbanding RM1,200 ke RM1,300 menjual getah sekerap.

 

Beliau berkata sebagai permulaan, kementerian menerusi LGM menyasar untuk membina 100 buah pusat itu di Kedah memandangkan negeri ini merupakan antara negeri yang menghasilkan getah tertinggi iaitu 30% daripada keseluruhan pengeluaran getah negara.

 

KPPK

 

Dalam pada itu, Zuraida juga menyarankan pekebun kecil ini untuk menubuhkan koperasi dalam kalangan mereka supaya dapat bekerja secara lebih tersusun selain memudahkan penyampaian maklumat kerajaan.

 

"Kita akan kenal pasti pekebun kecil untuk bekerja sebagai koperasi, iaitu lebih kurang 100 ke 150 pekebun kecil dalam satu koperasi dan kita akan bina satu pusat pemprosesan krip di kawaaan mereka. 

 

"Jadi semua pekebun kecil dalam kawasan itu akan hantar cup lump mereka ke pusat itu untuk diproses sebagai krip," katanya.

 

Sementara itu, Zuraida berkata, proses membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit akan dilakukan secepat mungkin bagi memenuhi permintaan sektor tersebut. - DagangNews.com