KPPK sasar eksport koko meningkat sekali ganda kepada RM14 bilion pada 2022 | DagangNews Skip to main content

KPPK sasar eksport koko meningkat sekali ganda kepada RM14 bilion pada 2022

KUALA LUMPUR 14 Jan - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan eksport koko akan meningkat sekali ganda kepada RM14 bilion pada 2022 berbanding RM7 bilion yang direkodkan pada tahun lalu dengan peningkatan itu dipacu potensi pasaran yang besar untuk komoditi itu di peringkat antarabangsa.

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, berdasarkan unjuran penggunaan produk koko global pada masa ini bernilai AS$120 bilion (RM501.3 bilion) dan pihaknya sudah merangka pelbagai inisiatif untuk mencapai sasaran eksport itu.

 

"Industri koko ada potensi besar dan kami lihat Malaysia boleh mempelopori atau meningkatkan pengeluaran koko untuk dieksport ke luar negara," katanya selepas melancarkan iklan video komersial dan promosi koko, hari ini, lapor Bernama.

 

Zuraida berkata, kementerian juga akan menumpukan kepada perniagaan pengisaran koko, iaitu buah koko diimport dan pengusaha mengisar sebelum dieksport semula dalam bentuk baharu.

 

Beliau berkata, sebuah hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor akan siap dibina dalam masa terdekat dan kewujudan hab itu akan merancakkan lagi eksport koko ke luar negara.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Koko Malaysia akan bekerjasama dengan syarikat animasi tempatan Monsta Agency & Distribution untuk pembikinan iklan video komersial berasaskan watak animasi Profesor Koko serta menampilkan watak animasi terkenal, Boboiboy.

 

Beliau berkata, iklan itu akan ditayangkan di saluran televisyen nasional untuk menyebarluaskan maklumat mengenai khasiat, kebaikan dan kegunaan koko serta memberi kesedaran mengenai amalan sihat pengambilan produk makanan dan bukan makanan berasaskan koko dalam kehidupan seharian.

 

"Koko adalah berkhasiat dan bermanfaat dan boleh dikilangkan untuk menghasilkan beberapa produk lain, tetapi maklumat ini tidak sampai kepada masyarakat kita.

 

"Koko selalu dikaitkan dengan coklat tetapi koko juga boleh digunakan untuk buat produk makanan dan bukan makanan seperti kosmetik dan bahan-bahan ubat yang berkaitan kesihatan," katanya. - DagangNews.com