Krisis Rusia-Ukraine dijangka berpanjangan menjadi `perang perdagangan’ – Ahli Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Krisis Rusia-Ukraine dijangka berpanjangan menjadi `perang perdagangan’ – Ahli Ekonomi

Bangunan di Kyiv, Ukraine ini binasa dibedil oleh tentera Rusia. Gambar Julia Rekamie
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 26 Julai – Kemelut Rusia-Ukraine dijangka berlarutan dalam waktu yang panjang, namun ia akan lebih kepada peperangan perdagangan, kata Profesor Emeritus, Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr. Barjoyai Bardai.

 

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak sepatutnya terlalu mengambil berat tentang peperangan ini, selain daripada kesan ke atas sekatan ekonomi terhadap Rusia.

 

“Sudah ada perbincangan mengenai inflasi yang tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah dan ini disebabkan oleh kekurangan bekalan minyak dan gas, sayur-sayuran hijau dari Rusia.

 

“Malaysia terjejas tetapi tidak seteruk (yang dialami oleh Amerika Syarikat dan Eropah). Tambahan pula, kita adalah negara pengeksport bersih dalam erti kata kita mengeksport lebih daripada import, jadi kita kurang kesan inflasi import yang akan kita hadapi,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang konflik yang berlarutan di antara Rusia dan Ukraine.

 

“Saya fikir ini akan menjadi perang yang agak panjang, walaupun perang fizikal boleh ditenangkan tidak lama lagi, perang perdagangan akan menjadi lebih kekal dan ini adalah perang antara Rusia dan sekutunya menentang AS,” kata Prof Barjoyai.

 

Katanya, sekarang dunia melihat bahawa AS sudah rugi apabila mata wang Rusia, ruble telah meningkat nilainya.

 

Sejak lima bulan lalu,  20 ruble bersamaan nilai setiap ringgit. Hari ini hampir 10 ruble setiap ringgit.


 

Dr. Barjoyai Bardai
                            Dr. Barjoyai Bardai

 


“Ia telah meningkat dua kali ganda dan AS cuba menjatuhkan ruble. Mereka cuba menjadikan ruble seperti apa yang berlaku terhadap mata wang Venezuela tetapi mereka gagal kerana Rusia (saya rasa) lebih bijak kali ini.

 

Menurut laporan Bloomberg, ruble telah mengukuh berbanding dolar AS, lebih daripada 11 peratus sejak awal tahun ini.

 

Laporan itu berkata, di pasaran mata wang antarabangsa, kadar pertukaran ruble telah menunjukkan pertumbuhan yang lebih besar kira-kira 12 peratus setakat ini.

 

Ruble mencapai paras tertinggi dalam tempoh empat tahun berbanding dolar AS pertengahan tahun  ini selepas Moscow bertindak menyerang Ukraine pada Februari lalu.

 

Ia juga mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun berbanding mata wang Euro.

 

Menurut Dr Barjoyai, perang dingin antara Rusia dan Ukraine sememangnya telah  berlaku selama beberapa dekad, tetapi percikan kali ini adalah kerana Rusia menganggap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah melampaui batas.


 

ukraine

 


“Inilah yang dikatakan oleh Rusia bahawa mereka memusnahkan semua senjata biologi atau senjata yang dihasilkan oleh NATO di Ukraine.

 

“Rusia mahukan Ukraine menjadi negara berkecuali dan bukan sebahagian daripada NATO. Itulah objektifnya (sebenar), “ ujar beliau.

 

Menurut laporan media, setakat ini, pencerobohan Russia mengakibatkan kerosakan kira-kira AS$100 bilion membabitkan jalan raya, jambatan dan perniagaan, satu kesan besar kepada ekonomi Ukraine. - DagangNews.com