KTMB percepat proses vaksin di PPVIN KL Sentral dan MyRA | DagangNews Skip to main content

KTMB percepat proses vaksin di PPVIN KL Sentral dan MyRA

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Keretapi Tanah Melayu (KTMB) sedang mempercepat kadar pemberian vaksin kepada kakitangan melalui dua pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN), iaitu PPVIN KL Sentral dan PPVIN Akademi KTM (MyRA), Batu Gajah, Perak.

 

Pada hari ini dan semalam telah berlangsung PPVIN KL Sentral untuk warga kerja KTMB yang menerima dua dos vaksin lengkap. Mereka terdiri daripada kakitangan pelbagai bidang kerja yang telah menerima suntikan vaksin dos pertama pada 26 dan 27 Julai lalu. Sehingga kini 77% daripada 5,782 telah menerima dua dos vaksin lengkap.

 

Menurut Penyelaras Program PPVIN KTMB, Nor Azizi Azis, syarikat menyasarkan lebih 90% warga kerja KTMB akan menerima dua dos vaksin lengkap menjelang awal September 2021.

 

Tambahnya lagi, ini adalah salah satu inisiatif mencapai sasaran imuniti kelompok dan bersedia untuk ke fasa seterusnya.

 

KTMB merupakan operator rel negara yang turut terkesan dengan penularan pandemik COVID-19. Melalui program vaksinasi dalam kalangan warga kerja ini, kes harian dapat dikurangkan dan tren dapat beroperasi seperti biasa selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan.

 

 

ktmb

 

 

Program ini telah mendapat kelulusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan ianya merupakan inisiatif bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - DagangNews.com