‘Kuasa wanita’ makin meluas di jawatan tertinggi syarikat tersenarai awam | DagangNews Skip to main content

‘Kuasa wanita’ makin meluas di jawatan tertinggi syarikat tersenarai awam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Malaysia mula menyaksikan peningkatan dari segi penglibatan pentadbiran golongan wanita di peringkat lembaga syarikat tersenarai awam (PLC). 

 

Setakat penghujung tahun 2019, penglibatan golongan wanita di 100 PLC teratas di Malaysia meningkat kepada 26.9%, menurut statistik oleh Pengerusi Pengasas Bersama 30% Club, Tan Sri Zarinah Anwar.  

 

Prestasi itu melonjak hampir dua kali ganda daripada paras yang dicapai pada tahun 2015.

 

Jumlah itu menghampiri paras 30% iaitu sasaran minimum yang diletakkan ke atas penglibatan golongan wanita di dalam PLC, syarikat persendirian berdaya maju serta multinasional.

 

Namun, angka itu menurun sedikit kepada 25.4% pada hari ini, dipercayai disebabkan oleh perubahan komposisi syarikat-syarikat 100 teratas, dengan beberapa daripada PLC pula tiada penglibatan wanita dalam peringkat lembaga syarikat.

 

“30% Club berharap ini hanya sementara dan akan berusaha untuk merapatkan jurang berkenaan,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan hari ini. 

 

aaa
Zarinah Anwar

 

Pertubuhan 30% Club yang turut memetik kenyataan Zarinah ketika majlis Skim Club’s Board Mentoring, Malaysia bagaimanapun kekal menerajui penglibatan wanita yang ramai di dalam jawatan tertinggi syarikat berbanding negara ASEAN lain, malah berada pada kedudukan kedua selepas Australia di rantau Asia Pasifik.  

 

Skim yang dibangunkan bersama-sama PwC Malaysia pada 2017 itu bertujuan mempercepat lantikan lebih ramai wanita ke dalam peringkat lembaga syarikat.

 

Sejak dilancarkan, seramai 48 wanita telah melalui program mentor selama sembilan bulan dan 27% telah dilantik ke dalam lembaga syarikat. 

 

“Langkah untuk mencapai 30% wanita dalam peringkat lembaga syarikat bukan mudah.

 

"30% Club Malaysia menerusi skim berkenaan telah membantu untuk mengembangkan calon wanita yang bersedia untuk dipertimbangkan bagi jawatan lembaga syarikat,” kata Rakan PwC Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Peneraju 30% Club, Pauline Ho. - DagangNews.com