KULIM bina loji hasilkan minyak sawit merah, dijangka siap suku ketiga 2023 | DagangNews Skip to main content

KULIM bina loji hasilkan minyak sawit merah, dijangka siap suku ketiga 2023

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kulim (Malaysia) Bhd. (KULIM), melalui anak syarikat perladangannya, Mahamurni Plantations Sdn. Bhd. (MPSB), akan membina loji pengekstrakan minyak gentian sawit (PFOE) pertamanya di kilang kelapa sawit Sedenak di Johor.

 

Sebagai salah satu inisiatif yang menukar sisa menjadi bahan berguna, loji PFOE mengekstrak minyak daripada gentian mesocarp menerusi buah tandan segar yang diproses.

 

Ia bagi menghasilkan minyak sawit merah yang boleh dijual pada 85% daripada harga minyak sawit mentah. 

 

Inisiatif itu akan menjana aliran pendapatan baharu bagi kumpulan dengan anggaran sebanyak RM8 juta setahun.

 

Sehubungan itu, MPSB hari ini menandatangani perjanjian kontrak dengan Eonmetall Technology Sdn. Bhd., anak syarikat Eonmetall Group Bhd. yang berpusat di Pulau Pinang, untuk membina loji tersebut, yang dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.

 

Pengarah Urusan KULIM, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, projek itu adalah sebahagian daripada usaha kumpulan untuk melaksanakan ekonomi kitaran dengan memanfaatkan sisa minyak sebagai bahan mentah untuk biofuel dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui untuk operasi loji daripada sumber yang mampan. 

 

"Lebih penting lagi, ia adalah bukti komitmen kami terhadap agenda alam sekitar, sosial dan  tadbir urus (ESG)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

KULIM
Ketua Pegawai Operasi KULIM, Fairuz Ismail (dari kiri) bersama Pengarah Urusan KULIM, Mohd. Faris Adli Shukery; Pengarah Urusan Eonmetall, Yeoh Cheng Chye dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Eonmetall Group, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak selepas majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak hari ini.

 

 

Sejak 2007, Eonmetall, yang memiliki paten teknologi tersebut, telah memasang lebih daripada 20 kilang dalam industri minyak sawit.

 

Sementara itu, Cheng Chye berkata, ia adalah hala tuju penting bagi KULIM untuk melabur dalam pendekatan tambahan nilai bersepadu untuk menghasilkan minyak gentian sawit bernilai tinggi. 

 

"Loji ini direka dengan operasi berterusan dan beroperasi sepenuhnya secara automatik dengan tenaga kerja yang minimum, selaras dengan penggunaan IR 4.0 dalam pemprosesan berkaitan kelapa sawit," katanya. -DagangNews.com