Kulim (M) Berhad terima 37 pekerja baharu Indonesia | DagangNews Skip to main content

Kulim (M) Berhad terima 37 pekerja baharu Indonesia

Farisa Rahmadhani (kiri), Fairuz Ismail dan Mohamad Yami Bakar beramah mesra dengan pekerja-pekerja Indonesia yang baru tiba. - Gambar Kulim (M) Bhd

ULU TIRAM 23 Jun - Kulim (Malaysia) Berhad mengalu-alukan kumpulan pertama pekerja ladang pasca-pandemik dari Lombok, Indonesia.

 

Seramai 37 orang pekerja itu tiba Rabu semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki Air Asia QZ463 jam 6.15 petang.

 

Ketua Pegawai Operasi Kulim, Fairuz Ismail dan Ketua Perladangan Kulim, Mohamad Yami Bakar menyambut pekerja-pekerja tersebut di KLIA dan dibawa ke Kulim Eco-Trail Retreat, Johor, untuk program induksi mereka.

 

“Kami mengalu-alukan kumpulan pertama pekerja ladang ke Kulim. Selepas dua tahun pandemik, kita kini boleh mengharapkan lebih ramai pekerja tiba dengan mematuhi proses dan prosedur yang ketat,” kata Fairuz.

 

Kumpulan itu turut bertemu Farisa Rahmadhani, Konsul Tenaga Kerja, Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Johor Bahru yang menjadi tetamu kehormat pada program induksi pagi tadi.

 

Kulim adalah anak syarikat milik penuh JCorp. Selama bertahun-tahun, Kulim telah diiktiraf sebagai salah satu kumpulan minyak sawit terkemuka yang beroperasi di Malaysia dan Indonesia.

 

Kulim  juga antara pengeluar minyak sawit terawal yang diperakui piawaian Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO). - DagangNews.com