Kumpul saham Gamuda menjelang pembentangan RMK-12, saran Kenanga | DagangNews Skip to main content

Kumpul saham Gamuda menjelang pembentangan RMK-12, saran Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Kenanga Research percaya sekarang merupakan waktu yang tepat untuk para pelabur mengumpul saham Gamuda Berhad menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

 

Penganalisisnya, Lim Khai Xhiang menjangkakan kerajaan mungkin menyenaraikan beberapa projek infrastruktur mega pada masa akan datang untuk melonjakkan ekonomi pada pembentangan tersebut, seterusnya dapat meningkatkan saham pembinaan seperti Gamuda.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka membentangkan RMK-12 di Parlimen menjelang Isnin hadapan, 27 September 2021. 

 

“Dengan pengumuman prestasi untuk tahun kewangan yang berakhir Julai 2021 dianjakkan kepada 29 September, kami percaya jangkaan perolehan yang lebih lemah telah diambil kira (ketika ini), memandangkan para pelabur menunggu tempoh pemulihan,” jelas Khai Xhiang dalam satu nota teknikal, hari ini.

 

Katanya, harga saham Gamuda berpotensi menunjukkan pergerakan menaik berdasarkan petunjuk ‘bullish’, sekali gus mampu mencabar paras rintangan RM3.45 dan RM3.59. 

 

Secara teknikalnya, saham itu telah membentuk paras lebih rendah pada pertengahan Ogos lalu, di mana mencecah sehingga RM2.60. 

 

Sejak itu, harga saham syarikat pemaju tersebut melonjak 24% dalam tempoh kurang daripada sebulan, sebelum menyusut semula kepada paras RM2.95 di mana bagi Khai Xhiang, pergerakan itu mencerminkan pengakhiran trend menurun saham Gamuda. 

 

“Lonjakan harga saham yang kukuh juga memecah purata bergerak sederhana (SMA) 50 hari. Dan dengan kedudukan terkini yang berada di atas SMA 50 hari dengan selesa, saham itu dijangka memulakan trend menaik pada masa akan datang,” tambah beliau.

 

Pada tahun kewangan 2020 (FY20), Gamuda mencatatkan keuntungan bersih utama 28% lebih rendah kepada RM520 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya. 

 

Bagi FY21, konsensus menjangkakan keuntungan bersih Gamuda akan menguncup sedikit sebanyak 6% kepada RM489 juta, terutamanya disebabkan oleh pembilan hartanah dan pembinaan serta aliran tol trafik yang lebih lemah.

 

Setakat 9.17 pagi, harga saham Gamuda menyusut 1 sen kepada RM3.06. - DagangNews.com