Kumpulan NCT-UCSI University meterai MoU bantu peluang kerjaya pelajar | DagangNews Skip to main content

Kumpulan NCT-UCSI University meterai MoU bantu peluang kerjaya pelajar

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Syarikat pembangunan hartanah NCT Group of Companies (Kumpulan NCT) dan institusi pengajian tinggi swasta, UCSI University menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Premier Co-Op bagi membentuk kerjasama untuk perkembangan dan manfaat pelajar.

Majlis menandatangani MoU itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak yang terlibat menerusi peluang pendidikan melalui latihan industri yang merupakan platform penting bagi membentuk kejayaan pelajar di dunia kerjaya kelak.

Menyedari keperluan tersebut, Kumpulan NCT memperkenalkan inisiatif FLY Youth yang membentuk perkembangan positif pelajar. 

Inisiatif itu bertujuan membentuk pemimpin muda yang berwibawa melalui pelbagai kempen dan pertandingan selain memberi pelajar pengalaman industri yang boleh meningkatkan kemahiran mereka. 

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Pengasas Bersama Kumpulan NCT, Datuk Joe Yap Fook Choy berkata, FLY Youth dapat memberi graduan pengalaman dan jangkaan sebenar dalam dunia kerjaya.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada NCT Group untuk melatih graduan muda dan memberi lebih nilai selain daripada latihan industri biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

UCSI
JOE YAP FOOK CHOY (kiri) dan Jimmy Mok Vee Hoong menandatangani MoU Premier Co-Op. 

 

Sesi menandatangani MoU tersebut telah berlangsung di Kampus Kuala Lumpur UCSI University dan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik, Pelajar dan Alumni UCSI University dan Pemangku Dekan Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal, Professor Madya Ir. Dr. Jimmy Mok Vee Hoong serta disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan NCT, Yap Chun Theng.

Turut termasuk dalam kerjasama itu ialah Program Industry Leadership oleh UCSI University yang membantu pelajar menjamin peluang kerjaya dari tahun pertama pengajian Ijazah Sarjana Muda mereka dan menerima latihan industri serta peluang pekerjaan dengan syarikat-syarikat terkemuka. 

“Melayari cabaran dunia sebenar dan selok-belok kerjaya adalah penting untuk membentuk jalan ke arah kejayaan untuk para pelajar. 

“Saya amat teruja dengan kerjasama bersama NCT Group yang pastinya akan memberi lebih ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar UCSI University untuk mendalami industri masing-masing khususnya dalam bidang seni bina, kejuruteraan, pembinaan, bisnes dan pemasaran,” kata Jimmy Mok Vee Hoong. - DagangNews.com