Kumpulan pertama terima vaksin COVID-19 awal Mac - PM | DagangNews Skip to main content

Kumpulan pertama terima vaksin COVID-19 awal Mac - PM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kumpulan pertama yang dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 adalah pada awal Mac, dan dapat meliputi lebih daripada 80% atau hampir 27 juta penduduk Malaysia menjelang suku pertama tahun 2022. 

 

Program vaksinasi itu dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

permai

“Sukacita saya mengumumkan bahawa perancangan program vaksinasi kita adalah on-track. Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin, dan dijangka menerima bekalan vaksin yang pertama pada penghujung bulan Februari nanti. 

 

“Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama. 

 

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

 

“Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan khusus bagi perolehan ini,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan pakej bantuan baharu di Facebook. 

 

Sebelum itu, Muhyiddin mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang bernilai RM15 bilion untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. 

 

Baca : PM umum Permai, pakej rangsangan baharu bernilai RM15 bilion

 

Di bawah pakej itu, peruntukan tambahan sehingga RM1 bilion diumumkan beliau bagi memerangi pandemik COVID-19.

permai

Ini merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM), dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga agensi-agensi lain yang terlibat, jelasnya.

 

Ujar Muhyiddin, penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan, serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutama kepada petugas kesihatan. 

 

Tambah Muhyiddin, bagi penetapan golongan yang akan menerima vaksin ini, kerajaan akan menghebahkan garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu mengambil vaksin berkenaan kelak.

 

“Saya juga ingin berkongsi bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus, dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan. 

 

“Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak,” kata Muhyiddin lagi. - DagangNews.com