Kurang pemangkin, pasaran berakhir lemah | DagangNews Skip to main content

Kurang pemangkin, pasaran berakhir lemah

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Pasaran tempatan diniagakan hampir mendatar walaupun saham-saham perbankan mencatat kenaikan dalam dagangan hari ini. 

 

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% buat kali ketiga. 

 

Indeks utama FBM KLCI hanya menyusut dalam kadar kecil pada 0.02% untuk ditutup kepada 1,601.54 mata dengan 5.86 bilion saham diniagakan bernilai RM4.38 bilion. 

 

Kaunter untung mengatasi rugi pada 619 berbanding 528 manakala 469 kaunter tidak berubah.  

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, indeks utama sebahagian besar diheret turun oleh saham-saham syarikat seperti Sime Darby, Petronas Dagangan dan IOI Corporation yang menyusut lebih daripada 2%.

 

Kaunter perbankan seperti CIMB, Hong Leong Bank, Public Bank dan RHB Bank yang merekodkan kenaikan telah mengurangkan kerugian yang dialami bursa tempatan. 

 

"Sektor perbankan menyumbang lebih 20% daripada nilai pasaran modal indeks FBM KLCI, justeru, sebarang kenaikan akan melonjakkan prestasi bursa. 

 

"Saham perbankan mendapat pemangkin daripada keputusan BNM mengekalkan kadar OPR yang dapat mengelakkan tekanan kepada margin faedah bersih (NIM) bank," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Bagaimanapun, beliau menjangkakan BNM akan mengurangkan kadar ini sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat akan datang pada Mac ini memandangkan PKP 2.0 sudah dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak. 

 

Kerajaan menganggarkan kerugian sebanyak RM600 juta sehari, lebih rendah berbanding RM2.4 bilion sehari ketika PKP 1.0 pada Mac hingga Mei lalu. 

 

Bagi bantuan pakej Permai bernilai RM15 bilion ia dibiayai daripada sumber dana yang kebanyakannya datang daripada Belanjawan 2021 dengan perbelanjaan yang lebih berhemat. 

 

"Sudah tentu ini tidak memberi kesan besar kepada kedudukan fiskal kerajaan dan defisit fiskal, yang dijangka tidak berubah pada kadar 5.4% tahun ini. 

 

"Ini membolehkan kerajaan memberi lebih fokus dan kemampuan dari segi sokongan monetari dengan mengurangkan OPR bagi mengawal impak PKP 2.0," jelasnya. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup kepada RM4.0430/0470 berbanding dolar AS, lebih tinggi berbanding penutupan semalam, RM4.0480/0520. - DagangNews.com