Kurangkan sisa tekstil, Glomac rancang lebih banyak Fabric Bank | DagangNews Skip to main content

Kurangkan sisa tekstil, Glomac rancang lebih banyak Fabric Bank

Fabric Bank Glomac di pusat beli-belah Glo Damansara, Taman Tun Dr Ismail.

 

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Syarikat pemaju hartanah tempatan, Glomac Berhad dan pengeluar pakaian khas, SaltyCustoms berganding bahu melancarkan Fabric Bank di pusat beli-belah Glo Damansara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), awal Mei lalu.

 

Inisiatif bank kain atau Fabric Bank ini dicetuskan oleh Kloth Malaysia Sdn. Bhd., iaitu sebuah keusahawanan sosial tempatan yang memperjuangkan penghindaran kain dan plastik dari tempat pelupusan sampah melalui model perniagaan ekonomi pekeliling.

 

Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Korporat Kumpulan Glomac, FD Idzham FD Iskandar berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha swasta yang dikenali sebagai Kloth Cares Fabric Recycling Movement. 

 

"Sejak ditubuhkan pada Ogos 2018, usaha ini telah memberi peluang kepada ramai entiti korporat termasuk Glomac untuk turut serta bersama menjaga bumi.

 

"Peluang ini juga adalah sebahagian daripada perancangan Glomac untuk mengembangkan lagi program kelestarian syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau juga menambah, Fabric Bank tersebut adalah yang pertama daripada 5 yang dirancangkan untuk
diletakkan di kawasan-kawasan perbandaran pembangunan Glomac.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (Operasi) Glomac, Zulkifly Garib berkata, Glomac merancang untuk melaksanakan lebih banyak Fabric Bank di kawasan perbandarannya seperti Saujana Perdana di Bandar Saujana Utama. 

 

"Pembangunan bertingkat tinggi Glomac seperti 121 Residences yang akan datang juga termasuk di dalam perancangan tersebut kerana kedua-dua pembangunan ini terletak di kawasan persekitaran yang matang.

 

"Oleh itu, kami yakin usaha ini akan mendapat sambutan padu masyarakat setempat,” katanya.

 

Fabric Bank menerima hampir semua jenis sumbangan kain dan tekstil termasuk baju, seluar jeans, cadar tilam, dan juga patung mainan. 

 

Setiap bulan, hasil sumbangan yang dikumpulkan dari Fabric Bank akan dihantar ke pusat pengasingan. 

 

Di pusat pengasingan, hasil tersebut akan diasingkan, diproses, dan diedarkan semula mengikut tujuan baru
masing-masing.

 

Bagi penduduk sekitar TTDI dan ingin menderma, mereka dialu-alukan untuk datang ke Glo Damansara. Untuk akses mudah kepada orang awam, Fabric Bank terletak di pintu masuk kedua di tingkat LG (berhadapan dengan Desa Kiara Condominium/pintu masuk belakang). - DagangNews.com