Skip to main content

Kursi MB Selangor diwujudkan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM

Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian antara Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Norita Mohd Sidek bagi mewujudkan Kursi MB Selangor, di kampus UPM pada 1 November 2021.

 

 

SERDANG 2 Nov – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi mewujudkan Kursi Profesor yang dikenali sebagai Kursi Menteri Besar Selangor (Kursi MB Selangor).

 

Universiti Putra Malaysia turut menerima endowmen berjumlah RM5 juta daripada MBI.

 

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kursi MB Selangor di Sekolah SPE, UPM adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Selangor untuk memperkasakan pengajian tinggi di negeri Selangor.

 

“Buat julung kalinya, pihak Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan Kursi Profesor dalam bidang pendidikan literasi pentadbiran perniagaan, keusahawanan dan ekonomi bagi menerajui pendidikan dan penyelidikan khusus dalam bidang ekonomi, perniagaan, kewangan dan keusahawanan,” katanya.

 

Melalui penubuhan Kursi Profesor itu ujar beliau, penyandang Kursi akan dilantik dari kalangan pakar yang tersohor yang akan bekerjasama dengan para penyelidik di UPM untuk menyumbang kepada pengetahuan dalam mengendalikan penyelidikan; menyelia pelajar-pelajar dan menyelaras projek-projek penyelidikan berimpak tinggi bersama pensyarah yang terlibat.

 

 “Hasil penyelidikan berimpak tinggi bersama pensyarah yang terlibat di mana hasil projek penyelidikan tersebut dapat digunakan dan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti wacana ilmiah, akademik, penerbitan dan perkongsian ilmu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai memorandum di antara Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Norita Mohd Sidek di kampus UPM pada Isnin.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, melalui hubungan kerjasama yang strategik bersama MBI secara langsung membantu meningkatkan penjanaan kewangan dan endowmen universiti dalam tempoh jangka panjang.

 

“UPM sentiasa berusaha ke arah pembangunan dalam pelbagai bidang penyelidikan dan pembelajaran serta endowmen ini penting untuk menyediakan dana memajukan aktiviti akademik di UPM.”

 

“Antaranya untuk penyediaan biasiswa berprestij, membiayai kos penyandang Kursi Profesor serta bagi melaksanakan aktiviti akademik berimpak tinggi melalui penyelidikan dan kolaborasi dengan institusi tersohor,” katanya.

 

UPM
Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman (tiga dari kanan) dan pegawai-pegawai kerajaan Selangor serta UPM bergambar kenangan pada majlis memeterai perjanjian penubuhan Kursi MB Selangor, di kampus UPM pada 1 November 2021.

 

 

MBI ditubuhkan di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor [Enakmen No: 3 1994] pada 21 September 1994.

 

MBI Selangor berperanan sebagai sebuah badan korporat yang telah ditubuhkan khas untuk mentadbir pengurusan aset dan pelaburan milik Kerajaan Negeri serta mewakili Kerajaan Negeri dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan yang di luar bidang kuasa pihak kerajaan negeri.

 

MBI juga berperanan mempromosi dan mendokong usaha pembangunan Kerajaan Negeri Selangor di samping melunaskan kewajipan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. – DagangNews.com