Kutipan hasil RM42.5 bilion JKDM pada 2021 atasi sasaran RM40 bilion Kementerian Kewangan - PM | DagangNews Skip to main content

Kutipan hasil RM42.5 bilion JKDM pada 2021 atasi sasaran RM40 bilion Kementerian Kewangan - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi 2021 mencecah RM42.5 bilion iaitu melebihi sasaran awal RM40 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

 

Beliau berkata, selain kejayaan mengutip hasil yang tinggi bagi tahun 202, JKDM juga berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasam dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

 

"Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik COVID-19 dan bencana alam.

 

"Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin JKDM akan terus bergerak maju sebagai Economic Frontliners atau Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap semasa merasmikan Hari Kastam Sedunia Kali Ke-40 Tahun 2022, hari ini.

 

Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 bagi tahun 2022 ini membawa tema “Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data”.

 

Tema ini adalah amat relevan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa.

 

Ismail Sabri berkata, JKDM harus memastikan setiap warganya celik digital selain bersedia mengadaptasi transformasi teknologi kerana ia adalah selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dianjurkan kerajaan ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital.

 

Beliau berkata, hasrat menggerakkan transformasi didital dalam perkhidmatan awam telah digariskan dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 selain termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta dalam pelan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilancarkan ada September 2021. 

 

Perdana Menteri berkata, usaha World Customs Organization (WCO) melalui JKDM dalam menghidupkan tema sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 ini wajar dipuji kerana ia sejajar dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan ranking “Ease of Doing Business” bagi Malaysia.

 

"Kerajaan juga sentiasa berusaha membantu JKDM untuk terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan memudah cara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

 

"Komitmen ini terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan selanjutnya berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan," katanya. - DagangNews.com