KWSP dijangka berdepan caruman 2021 lebih rendah - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

KWSP dijangka berdepan caruman 2021 lebih rendah - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Salah satu institusi pemegang dana terbesar negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin berdepan aliran masuk atau caruman bulanan yang lebih rendah pada 2021 sekiranya pengeluaran di bawah program i-Sinar tinggi.

 

Berdasarkan anggaran pengeluaran 50% simpanan daripada i-Sinar, CGS-CIMB Research meramalkan nilai simpanan yang dikeluarkan mampu mencecah RM35 bilion. 

 

Sebelum penularan COVID-19, data rasmi menunjukkan KWSP menerima purata RM1.2 bilion hingga RM2.6 bilion aliran masuk bersih bulanan selepas jumlah pengeluaran ditolak. 

 

Jelas CGS-CIMB, bermula 2016 hingga 2019, KWSP menerima kira-kira RM15 bilion hingga RM31 bilion caruman setiap tahun.

 

“Setakat 30 Jun 2020, sebanyak 49.2% daripada jumlah aset pelaburan KWSP bernilai RM929.6 bilion merupakan dalam bentuk instrumen pendapatan tetap, ekuiti (38.2%), instrumen wang pasaran (7.2%) serta hartanah dan infrastruktur (5.4%).

 

“Kira-kira 30% daripada aset pelaburan itu adalah dari luar negara. Memetik laporan media, KWSP akan memastikan bahawa tindakannya untuk memenuhi keperluan i-Sinar tidak akan memberi impak ke atas pasaran domestik,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Dua langkah sokongan berkaitan skim KWSP diumumkan dalam Belanjawan 2021 iaitu melibatkan program i-Sinar dan pengurangan caruman. 

 

i-Sinar merupakan bantuan baharu untuk menyokong pencarum KWSP yang kehilangan pekerjaan dan dikurangkan pendapatan ketika krisis COVID-19. 

 

Skim itu dikaji beberapa kali untuk memperluas liputannya dan jumlah pengeluaran, sejak pertama kali dibentangkan pada 6 November lalu. 

 

Program itu dilaporkan dapat memanfaatkan lapan juta ahli pencarum KWSP, meningkat daripada sasaran awal iaitu dua juta. 

 

Menerusi i-Sinar, pencarum dengan tidak lebih daripada RM100,000 simpanan dalam Akaun 1 boleh mengeluarkan dana sehingga RM10,000 bagi tempoh enam bulan.

 

Sementara itu, mereka yang mempunyai lebih daripada RM100,000 dalam akaun sama boleh mengeluarkan dana sehingga 10% daripada jumlah simpanan atau sehingga RM60,000 - yang mana lebih rendah.

 

Ini merupakan kebenaran pengeluaran simpanan caruman yang kedua selepas skim i-Lestari diumumkan pada Mac tahun ini. 

 

Bantuan kedua melibatkan KWSP adalah peratusan caruman bulanan dikurangkan kepada 9% daripada 11% bermula Januari hingga Disember 2021. 

 

Pengurangan itu dijangka bebaskan potensi aliran tunai sehingga RM9.3 bilion kepada rakyat. - DagangNews.com