KWSP jual 54,000 saham IJM Plantations | DagangNews Skip to main content

KWSP jual 54,000 saham IJM Plantations

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melupuskan 54,000 saham IJM Plantations Berhad (IJMP) pada kadar RM3.01 sesaham, semalam. 

 

Menurut makluman IJMP di Bursa Malaysia, pelupusan itu adalah berkaitan tawaran pengambilalihan 56.2% kepentingan IJM Corporation Berhad (IJM) dalam IJMP oleh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK). 

 

“Mengikut Perenggan 19.04 di bawah Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Berwajib 2016, syarikat ingin memaklumkan bahawa ia telah menerima satu notis berhubung urusan dalam saham IJMP oleh KWSP, pemegang saham besar dalam syarikat,” jelas IJMP.

 

Berdasarkan data pemegangan saham utama di laman web IJMP, KWSP memegang sekitar 14.0% kepentingan langsung dalam syarikat setakat 4 Julai 2019. 

 

Pada 9 Jun 2021, KLK menerusi makluman di Bursa Malaysia memberitahu bahawa kumpulan itu telah membuat tawaran untuk mengambilalih 56.2% kepentingan atau mewakili 494.8 juta saham yang dipegang IJM di dalam IJMP, 

 

Baca : IJM Plantations: Terima sahajalah tawaran KLK - Penganalisis

 

Ini melibatkan nilai keseluruhan RM1.53 bilion pada kadar RM3.10 sesaham.

 

IJM memaklumkan bahawa kumpulan bersetuju ke atas tawaran itu, yang akan berakhir pada 11 Jun.  

 

Cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah dan pemegang saham KLK serta IJM selain persetujuan daripada pemberi pinjaman IJM dan IJMP.

 

MIDF Research melihat tawaran berkenaan satu peluang besar buat IJMP untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu pemain utama dalam sektor perladangan di Malaysia.  

 

Tawaran harga pengambilalihan pada kadar RM3.10 sesaham juga dilihat berpatutan setelah mengambil kira harga minyak masak mentah (MSM) yang telah melepasi RM4,000 setiap tan, di mana merupakan paras tertinggi. - DagangNews.com