Ladang arnab dan aktiviti lasak tarikan pelancongan di Ranau | DagangNews Skip to main content

Ladang arnab dan aktiviti lasak tarikan pelancongan di Ranau

Oleh DOMINIC G. JOSEPH
editor@dagangnews.com

 

 

RANAU 25 Nov – Ladang Arnab Ranau menjadi satu lagi tarikan pelancongan di Sabah yang menggabungkan koleksi arnab dan aktiviti lasak di sekitar ladang untuk para pengunjung.

 

Terletak di Kampung Kigiok iaitu 7 km dari Pekan Ranau, kawasan ladang arnab ini berlatar Gunung Kinabalu yang memukau dengan udara segar dan nyaman.


 

arnab
Ladang Arnab Ranau, berlatar belakang Gunung Kinabalu.

 

 

Terdapat lebih 300 arnab yang comel dan pengunjung boleh memberi makanan serta membelai haiwan-haiwan tersebut.

 

Pengurus ladang, Keneddy Wong berkata, ladang arnab tersebut yang berkeluasan 0.8 hektar telah dibuka pada 8 Januari 2018. 

 

Menurutnya, pada masa ini terdapat  5 spesies arnab, iaitu baka New Zealand, Anggora, Lionhead, Holland Lop dan Rex.

 

"Arnab adalah haiwan yang cepat  membiak. Vitamin-vitamin akan dicampurkan di dalam air minumannya untuk menjaga kesihatan arnab.

 

‘’Arnab yang baru dilahirkan akan diasingkan dan diberi jagaan yang rapi," katanya ketika ditemui DagangNews.com di ladang arnab berkenaan, baru-baru ini.


 

arnab

 


Keneddy berkata, visi dan misinya ialah untuk menjadikan 'Ranau Rabbit Farm' satu tarikan yang terkenal di rantau ini dan menyediakan pelbagai aktiviti lasak di taman.

 

Menurutnya, faktor utama yang mempengaruhi keluarganya membuka taman arnab ialah arnab adalah sejenis binatang yang sangat comel dan digemari bukan sahaja oleh kanak-kanak tetapi oleh orang dewasa.

 

"Malah dengan trend terkini, konsep pelancongan semulajadi atau pelancongan agro  semakin digemari.

 

‘’Jauh dari kesibukan bandar raya, taman ini menawarkan suatu suasana yang begitu indah untuk mereka yang ingin merehatkan minda dan mencari ketenangan.

 

``Di samping itu kami juga menyediakan kemudahan aktiviti lasak seperti `Skybike’ yang merupakan pertama seumpamanya di Sabah," ujarnya.


 

arnab

 


Selain daripada itu kata beliau, ladang itu juga menyediakan tempat berkhemah bagi para pelawat yang berminat untuk berkhemah di pinggir Gunung Kinabalu.

 

Pengunjung hanya dikenakan bayaran masuk sebanyak RM3 untuk dewasa dan kanak-kanak ialah RM2.  Masuk percuma dikhaskan untuk 'Warga Emas' dan 'Orang Kurang Upaya'.

 

Daerah Ranau terletak di bahagian Pantai Barat Negeri Sabah. Ranau berasal dari perkataan Ranahon yang bermaksud kawasan sawah padi. Pekan Ranau terletak berdekatan dengan Gunung Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.

 

Kewujudan ladang arnab ini meningkatkan lagi portfolio pelancongan bagi Ranau yang sememangnya diiktiraf sebagai sebuah daerah pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa. 

 

Antara tempat-tempat pelancongan yang menarik di daerah ini ialah Kolam Air Panas Poring, Taman Negara Gunung Kinabalu, Ladang Sabah Tea, Pekan Kundasang yang terkenal dengan gerai-gerai sayurnya, bekas lombong tembaga Mamut, Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua, Sungai Liwagu, Tamu bulanan dan lain-lain lagi. – DagangNews.com