Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 13 July 2022

Laksanakan OPR tersasar untuk kumpulan B40 dan M40

 

 

 

FILEM-filem Seniman Negara Tan Sri P.Ramlee menjadi legenda dan sering diingati oleh rakyat Malaysia.

 

Dalam filem 3 Abdul, kebijaksanaan beliau menyebabkan bapa mertuanya hilang idea dan berserah sehingga beliau berkata, “apa lagilah nak jadi lepas ini?”

 

Apa lagi dah jadi selepas ini? Itulah yang kini yang sering dikatakan oleh rakyat. Pelbagai cabaran yang melanda demi kelangsungan kehidupan.

 

Bermula dengan krisis kesihatan COVID-19 yang mengheret rakyat hilang atau kurang mata pencarian, krisis ekonomi dunia, masalah kurang barang bekalan makanan, inflasi, kenaikan harga barang yang mendadak dan kini kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

 

Kehidupan rakyat kini semakin terhimpit kerana pemulihan kewangan dan sumber pendapatan masih lagi proses yang belum stabil.

 

Dalam rakyat sedang berusaha memulihkan ekonomi mereka, keadaan inflasi dan kenaikan harga barang sememangnya membebankan rakyat. Kini kenaikan OPR sedikit sebanyak terus menghimpit rakyat.

 

Apa Itu OPR?

Kadar Dasar Semalaman atau OPR ini adalah satu kadar yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas pinjaman dana pada seluruh bank di Malaysia. Penetapan kadar ini adalah di bawah pengurusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM.

 

OPR digunakan apabila bank melakukan pinjaman dari perbankan lain disebabkan kekurangan kadar dana simpanan perkhidmatan bank mereka.

 

Selain itu OPR  digunakan untuk mengawal polisi monetari ringgit supaya berada pada tahap yang baik agar tidak berlaku sebarang defisit ekonomi.

 

3 Abdul

 

Berapa OPR kini?

Minggu lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM)  telah mengumumkan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

 

 Kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus pada Mei yang lalu.

 

Bagaimana OPR menghimpit rakyat?

Ramai yang masih belum faham dan jelas tentang perkara ini. Ramai yang berpendapat bahawa jika pinjaman antara bank yang meningkat, kenapa pula rakyat yang terkesan?

 

Ya, memang betul OPR pinjaman antara bank. Jika pinjaman antara bank akibat kekurangan “cash reserved” mereka,  bank juga kena kaedah faedah yang tinggi kepada kita sebagai peminjam pula.

 

Contoh mudah bagaimana OPR ini boleh memberi kesan kepada rakyat dijelaskan menerusi ilustrasi jadual di bawah:

 

volatiliti

 

Kenaikan OPR 25 mata ini akan memberi kesan kepada pinjaman yang rakyat buat di bank-bank tempatan sama ada pinjaman baharu ataupun pinjaman sedia ada.

 

Berdasarkan ilustrasi contoh di atas, jika pinjaman perumahan seseorang yang bernilai RM400,000 yang dahulu kena bayar RM1,700.64 sebulan dan kini kena bayar RM1,756.05 sebulan. Ada kenaikan, bukan?

 

Bayangkan jika rakyat yang mempunyai beban hutang atas pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan lain-lain. Pastinya semuanya turut akan meningkat jumlah bayaran bulanan.

 

Peningkatan inilah yang akan terus membebankan rakyat. Jumlah ini juga akan ditanggung peminjam bagi setiap bulan. Jika rakyat yang mempunyai 2 atau lebih pinjaman pastinya dengan kenaikan OPR ini meningkatnya bebanan bulanan mereka antara RM50 hingga RM500 bergantung kepada jumlah pinjaman yang dibuat.

 

Lakukan Inovasi Instrumen Kewangan

Bagaimana kerajaan boleh membantu rakyat yang mengalami kenaikan bebanan hutang akibat kenaikan OPR ini terutamanya untuk golongan B40 dan M40?

 

Dek kerana sana-sini cerita pasal subsidi tersasar, OPR juga boleh dilakukan sebagai OPR tersasar.

 

Pelik bukan, instrumen kewangan pun nak ada tersasar juga? Kenapa tidak? Instrumen kewangan juga boleh dilakukan inovasi jika ada mekanisme yang baik untuk dilaksanakan.

 

Apa yang dimaksudkan dengan OPR tersasar? OPR tersasar boleh dilakukan dengan tidak menaikkan kos pinjaman kepada golongan B40 dan M40 ini walaupun OPR semasa yang telah naik.

 

Jika kerajaan dapat laksanakan ini, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban golongan B40 dan M40 di Malaysia.

 

volatiliti

 

Lebihan tunai di tangan

Jika OPR tersasar ini boleh dilaksanakan, apakah kesan kepada rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 ini?

 

Golongan ini akan mempunyai lebihan tunai di tangan kerana jumlah yang perlu dibayar untuk lebihan pinjaman ini akan dapat digunakan oleh rakyat bagi kegunaan harian bagi menampung kos sara hidup yang semakin mendadak ini.

 

OPR tersasar dan implikasi kepada bank

Dari sudut berbeza, kita perlu juga melihat kedudukan syarikat kewangan seperti bank jika OPR tersasar mahu lakukan.

 

Bank pastinya tidak mampu mendapatkan kadar faedah yang lebih atas kenaikan OPR ini. Tetapi, secara asasnya ia tidak mengurangkan keberkesanan OPR kerana jumlah pinjaman sebahagian besarnya dibuat oleh perniagaan dan mereka yang berpendapatan tinggi.

 

Golongan inilah yang lebih membawa “keuntungan” kepada bank daripada pinjaman rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 yang mana pinjaman golongan ini hanya berkisar pinjaman kereta, rumah atau peribadi sahaja yang jumlahnya juga agak kecil jika hendak dibandingkan dengan pinjaman perniagaan atau mereka yang berpendapatan tinggi.

 

Kenaikan OPR, pertahankan ringgit

Dari sudut pandang kewangan, kenaikan OPR ini  akan menjadi penanda aras penetapan kadar faedah pinjaman adalah antara lain untuk menstabilkan dan mengukuhkan nilai ringgit.

 

Ini adalah berikutan susulan trend penurunan mata wang tempatan yang akan memberi impak besar kepada peningkatan kadar inflasi kerana negara banyak bergantung kepada barangan dan bahan yang diimport.

 

Janganlah kita hendak menyalahkan BNM semata-mata. Tindakan BNM meningkatkan OPR juga adalah untuk membantu menyokong ringgit yang semakin lemah berbanding bukan sahaja dolar Amerika Syarikat (AS) tetapi kadar mata wang lain.

 

Arah aliran ringgit yang semakin lemah memberi kesan yang kuat terhadap inflasi import dan  menyebabkan ia dipindahkan kepada pengguna memandangkan kos sara hidup akan meningkat.

 

volatiliti

 

Dalam situasi semasa, rizab dalam BNM berjumlah AS$112.8 bilion atau 4.6 bulan import tertangguh daripada AS$116.2 bilion atau 5.3 bulan import tertangguh pada Januari 2022.

 

Dan persoalannya ialah berapa banyak rizab yang boleh kita gunakan untuk menyokong ringgit dengan lebih banyak kenaikan kadar pasif? Maka, kenaikan OPR ini dilihat secara tidak langsung boleh mengukuhkan nilai ringgit.

 

Fenomena global dan langkah berhati-hati

Jika kita terus menghukum BNM dan kerajaan juga, pastinya tidak adil dalam isu OPR ini, isu fenomena global dan bukan hanya Malaysia di mana bank pusat negara-negara di dunia juga telah menaikkan kadar faedah yang lebih agresif.

 

Namun begitu, Malaysia masih lagi berhati-hati dan kurang agresif  untuk memutuskan tentang kenaikan OPR ini dengan mengambil pandangan banyak pihak.

 

Kenaikan OPR ini disebabkan oleh tekanan menaik terhadap inflasi berikutan peningkatan harga makanan dan pemulihan yang berterusan dalam permintaan domestik seperti yang ditunjukkan oleh penunjuk frekuensi tinggi terkini seperti kadar pengangguran, jualan runcit dan import.

 

Tindakan BNM ini juga  selari dengan kitaran pengetatan dasar monetari bank pusat global terutamanya dalam isi untuk memerangi kenaikan inflasi.

 

Ramalan OPR akan naik lagi hingga hujung tahun

Dijangkakan OPR tetap naik lagi sehingga hujung tahun ini. Ada yang menjangkakan OPR akan naik sehingga 3.00% hingga hujung tahun ini. Kini, 2.25% nak meningkat kepada 3.00. Ini satu jumlah yang agak besar. Mungkinkah akan berlaku?

 

Secara matematiknya, jika mahukan kenaikan sehingga 3.00, BNM perlu menaikkan kenaikan sehingga 50 mata bagi satu kenaikan. Barulah boleh tercapai.

 

Adakah BNM akan lakukan? Ia tidak mustahil untuk dilakukan. BNM boleh mengambil pendirian yang lebih agresif seperti mana bank pusat lain untuk menaikkan sebanyak 50 mata asas lagi bagi mengurangkan kadar inflasi.

 

volatiliti

 

Sosioekonomi rakyat juga perlu dijaga

Apa juga keputusan BNM untuk menaikkan lagi atau pun tidak OPR ini tidak dapat dipastikan walaupun ramalan banyak yang menyatakan akan naik lagi.

 

Apa-apa pun, kenaikan OPR ini akan memberi implikasi yang besar kepada sosioekonomi rakyat, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

 

Seperti yang kita sedia maklum, kini rakyat sedang bergelut dengan inflasi dengan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan harian.

 

Adakah dengan menaikkan kadar faedah ini satu langkah yang paling tepat untuk  membendung inflasi kerana ia berlaku bukan disebabkan peningkatan 'aggregate demand' tetapi disebabkan oleh gangguan dalam kitaran penawaran?

 

Apa-apa pun kita berdoa yang baik-baik sahaja apa jua keputusan BNM kelak demi kesejahteraan rakyat!   - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags